Tuesday, June 17, 2014

Lupakan hasrat laksana GST tahun depan

 1 / 1 
PEMUDA Pas mendesak kerajaan melupakan hasrat untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

Ini ekoran daripada beberapa faktor semasa yang menunjukkan kerajaan masih lagi tidak membuktikan komitmen politik dalam memperbaharui kewangan negara.

Apa yang berlaku pada minggu lalu, kerajaan meminta Dewan Rakyat untuk meluluskan pembekalan (peruntukan perbelanjaan) tambahan tahun 2014 sebanyak RM 4.11 bilion.


Ini mengulangi tindakan tidak berhemah kerajaan yang merekodkan perbelanjaan tambahan melebihi RM 17 bilion pada tahun kewangan 2013.

Perbelanjaan tambahan ini ternyata bukan disebabkan perbelanjaan luar jangka sebaliknya disebabkan ketidakpekaan kerajaan dalam mengimbangi prioriti perbelanjaan negara.

Unjuran peruntukan bajet yang dilakukan saban tahun sewenang-wenangnya dibelanja melebihi had yang diperuntukkan, malah untuk sebahagian perbelanjaan tidak memberikan kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat.

Sebagai contoh, dalam keadaan kerajaan mengurangkan subsidi dan memberi tekanan kepada peningkatan harga barang yang secara langsung memberi kesan kepada rakyat, kerajaan telah membelanjakan RM 20 juta untuk melobi pencalonan Malaysia sebagai Ahli Majlis Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Benarkah Malaysia mampu berperanan dalam isu-isu keselamatan walhal apakah pandirian Malaysia terhadap konflik di Asia Barat, nasib umat Islam di Afrika Selatan, Myanmar dan Syria?

Sebenarnya, perbelanjaan ini untuk apa?

Isu Diplomasi Panda juga begitu. Kos keseluruhan pemeliharaan ini dikatakan menjangkau sehingga RM 60 juta.

Ini termasuklah anggaran kos sebanyak RM 25 juta yang terpaksa dibelanjakan untuk membina kompleks ‘kediamannya’ di Zoo Negara seluas 1.6 hektar dan anggaran kos sebanyak RM 1.5 juta setahun untuk penjagaannya.

Walaupun terdapat pihak-pihak tertentu yang merasionalkan projek berkenaan kononnya akan meningkatkan pulangan seperti di negara lain, siapa pula yang bertanggungjawab dengan nasib mereka yang menginap di Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berkeluasan hanya 700 kaki persegi dengan harga RM 30,000 seunit?

Sementara iu, meskipun kadar inflasi secara keseluruhan mencatatkan 3.4 peratus pada bulan April 2014 iaitu lebih rendah berbanding bulan Disember 2013 dan Mac 2014, namun kadar inflasi bagi sektor pengangkutan, perumahan, utiliti, gas dan bahan api kekal membengkak.

Begitu juga walaupun pelbagai langkah makro diperkenalkan untuk mengekang kenaikan hutang isi rumah yang menokok sehingga 86.8 peratus daripada KDNK, namun hasilannya tidak seperti yang dijangka.

Oleh yang demikian, selagimana rakyat melarat dengan pergelutan kewangan semasa, dan kerajaan secara sewenangnya berbelanja tanpa mengikut prioriti yang bijak, maka Pemuda Pas secara konsisten akan membantah pelaksanaan GST yang akan dilaksanakan bermula suku kedua tahun hadapan.

Apalah guna peningkatan hasil sekiranya pemborosan dan ketirisan menjadi amalan kerajaan.  

Ir. Khairil Nizam Khirudin,
Naib Ketua Pemuda Pas