Tuesday, June 24, 2014

Ho Leng ahli politik jujur, dedikasi

SIBU - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menyifatkan mendiang Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Assek daripada DAP Wong Ho Leng sebagai ahli politik jujur dan berdedikasi.

"Mungkin saya ada perbezaan pendapat dengan beliau dan malah pernah bertukar kata-kata kasar dengannya, tapi saya tidak pernah hilang rasa hormat terhadap beliau.

"Sarawak kehilangan seorang anak negeri yang hebat. Kita tidak akan ada orang sepertinya (Wong) lagi. Saya doakan kesejahteraan untuk keluarganya.

"Di samping itu, saya juga berharap dapat menjalin hubungan lebih baik dengan pembangkang pada masa akan datang," katanya.

Adenan berkata demikian ketika ditemui media selepas beliau memberi penghormatan terakhir kepada Wong, yang meninggal dunia pada 10.50 malam Sabtu di Pusat Pakar Perubatan Rejang di sini.

Wong, 54, yang juga bekas anggota parlimen Sibu dan pengerusi DAP Sarawak, menghidap kanser selama 18 bulan.

Bulan lepas, kerajaan negeri menyumbang RM1 juta bagi membantu menjelaskan sebahagian daripada bayaran perubatan Wong ketika beliau mendapat rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Adenan, yang diiringi Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembanganunan Komuniti negeri Datuk Sri Wong Soon Koh, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar negeri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan beberapa kenamaan lain meluangkan masa kira-kira 30 minit di kediaman Wong.

Turut hadir penasihat kebangsaan DAP Lim Kit Siang, naib presiden kebangsaan DAP Theresa Kok dan beberapa pemimpin DAP lain. 

Wong akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Cina Methodist di Km16, Old Oya Road di sini selepas satu upacara khas di Gereja Mathodist Hwai Ang pada pukul 7 pagi. - Bernama