Friday, June 13, 2014

Hudud: Dyana jelas pendirian kepada Nik Aziz

nikazizdyana
KOTA BHARU: Bekas calon DAP bagi PRK Teluk Intan, Dyana Sofya menjelaskan kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa beliau tidak pernah menolak hudud sebab sebagai orang Islam beliau tidak boleh menolak hudud.

Bagaimanapun, katanya, pendirian beliau sama seperti pendirian parti (DAP).
“Malaysia adalah negara sekular jadi hukum hudud tidak boleh dilaksanakan di sini,” katanya selepas menemui Mursyidul Am PAS itu di pejabatnya di sini semalam.

Mengulas mengenai pertemuan yang berlangsung selama kira-kira setengah jam itu, Dyana Sofya berkata, beliau memanfaatkan sebaik mungkin ruang yang ada untuk menjelaskan pendiriannya mengenai hudud kepada Nik Aziz.
Menurut Dyana Sofya, selain isu hudud, Nik Abdul Aziz turut memberi nasihat dan panduan berguna untuk beliau terus survive dalam dunia politik seperti perlu mempunyai prinsip dan sering turun padang bertemu masyarakat.
Dalam pertemuan itu, Nik Aziz mengatakan bahawa beliau tidak setuju dengan kenyataan Dyana Sofya mengenai hudud.
Dyana Sofya hadir mengiringi Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang melakukan kunjungan hormat ke atas Nik Abdul Aziz di pejabat beliau di Kompleks Kota Darulnaim.
Dalam pertemuan tersebut, bekas Menteri Besar itu turut menasihatkan Dyana Sofya supaya berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan pada masa depan.
Nasihat beliau itu adalah sebagai reaksi kepada tindakan Dyana Sofya yang dilaporkan berkata tidak akan menyokong pelaksanaan hudud ketika berkempen dalam PRK Parlimen Teluk Intan baru-baru ini.