Friday, June 13, 2014

Umno kecam kenyataan Anwar

TANJONG KARANG - Umno Selangor mengecam kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sewenang-wenangnya menyalahkan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam isu membabitkan perkahwinan seorang wanita Islam di sebuah kuil di Petaling Jaya pada Ahad lalu.

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya kesal sikap pemimpin PKR yang mahu menjadi jaguh dalam isu ini sehingga sanggup menyalahkan penguatkuasaan Jais yang terbukti menjalankan peranan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, kenyataan itu tidak rasional seolah-olah menangguk air yang keruh dan menyalahkan Jais yang konon-kononnya angkuh serta menyalahgunakan kuasa tanpa menghormati sensitiviti agama lain.

“Malah kerajaan negeri pula turut sama menyalahkan Jais dan mahu mengambil tindakan terhadap pegawai yang dikatakan tidak mengikut SOP ditetapkan itu. Di manakah relevannya tindakan ini?

“Sedangkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bertindak profesional dalam menangani isu ini,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang terus menerus menyalahkan Jais dalam isu membabitkan sensitiviti agama
lain di Selangor.

Bagaimanapun, Noh memuji Mais kerana bertindak bijak menyelesaikan isu perkahwinan melibatkan seorang wanita Islam di kuil terbabit tanpa serbuan dan mengikut prosedur SOP yang ditetapkan jabatan itu.

“Umno Selangor menyokong penuh tindakan Mais dan Jais kerana bertepatan dengan peruntukan undang-undang. Mais mengambil cara yang betul dengan menjalankan siasatan dan mengambil keterangan pengantin perempuan dengan pihak keluarga tanpa menimbulkan ketegangan dalam majlis resepsi itu.

“Saya difahamkan, keterangan kedua pihak sudah pun diambil dengan tertib bagi menghormati tetamu yang hadir pada majlis itu malah wakil keluarga pun memahami proses siasatan yang dijalankan Jais.

“Ini membuktikan Mais lebih bijak berbanding kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu membabitkan agama Islam di Selangor,” katanya ketika hadir merasmikan Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Insentif Program NKEA-EPP 11 di Pusat

Pengumpulan Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Karang, semalam.