Thursday, June 12, 2014

Jawatankuasa JPP fungsi penyelesai masalah


  • Johari Abdul Johari Abdul
 1 / 1 
PETALING JAYA - Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) telah menubuhkan jawatankuasa untuk mendengar setiap aduan dan permasalahan yang dikemukakan oleh setiap ahli PKR.

Menurut Pengerusinya, Datuk Johari Abdul, penubuhkan jawatankuasa tersebut bertujuan mengenal pasti permasalahan parti sehingga ke akar umbi dan melakukan penambahbaikan terhadap parti.

 "Pihak kami akan mengambil kira semua aspek berkaitan bagi menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh parti, pengadu akan dipanggil ke hadapan bagi memberi keterangan berkenaan aduannya dan pihak pemimpin yang didakwa akan dipanggil untuk diberi peluang membela diri," katanya dalam sidang media hari ini.


Menurutnya lagi, dengan setiap permasalahan dan isu yang dibangkitkan oleh pihak pengadu, JPP akan berpeluang untuk mengenalpasti dan membezakan pemimpin yang baik atau pemimpin yang bermasalah.

"Kami idealis, kami mencari, mengubah suai dan mengembangkan isu untuk memberi manfaat kepada parti dan negara, setakat ini pihak JPP telah kumpulkan kesemua isu berbangkit dan permasalahan yang sudah diselesaikan akan dibentangkan dalam Majlis MPP menjelang esok," katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi Panel Bantahan JPP, Abdul Malik Hussein berkata, sejak Mei lalu, pihaknya telah mendengar dan menyiasat aduan yang dikemukakan ke atas 71 cabang di seluruh negara.

"Pihak kami akan tangani dan dengar aduan serta bantahan yang dikemukakan secara bertulis kepada JPP, setiap hari akan ada pendengaran berlangsung bermula dari Sabah sehingga ke Semenanjung tanah air.

"Pihak panel bantahan akan membuat keputusan bagi sesi pendengaran, kemudian panel akan kemukakan syor dan dokumentasi kepada JPP untuk disahkan dan seterusnya akan diserahkan kepada PKR," katanya.

Menurutnya lagi, sebanyak 128 cabang setakat ini telah selesai mengadakan sesi pemilihan calon dengan sempurna tanpa sebarang masalah dan aduan manakala 71 cabang lagi yang didakwa menghadapi krisis pimpinan masih di bawah pemantauan dan penyelesaian oleh jawatankuasa tersebut.