Thursday, June 12, 2014

Skandal Bank Rakyat: Jawapan menteri tidak meyakinkan



KUALA LUMPUR: Jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berhubung skandal Bank Rakyat yang membabitkan ahli perniagaan bukan sahaja tidak menjawap persoalan yang dibangkit tetapi turut menimbulkan banyak pertanyaan.

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin ketika ditemui memberitahu jawapan Ahmad tidak dijelaskan secara menyeluruh terutamanya kenapa bank tidak memerlukan keuntungan dalam urusan pinjaman yang diberikan.

"Kalau urusan pinjaman tetapi bayaran balik tidak memerlukan keuntungan ia adalah satu yang gagal dilakukan bank.

"Ini menunjukkan bank memberi pinjaman tanpa memikirkan keuntungan, dalam setiap urusan intitusi itu perlu memikirkan pendeposit dan mereka ada hak dalam setiap pelaburan," jelasnya kepada Harakahdaily.

Ahmad ketika penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2014 memberitahu ia menjadi prosedur biasa kepada sesebuah bank untuk mendapat balik pinjaman yang dikategorikan kepada Pinjaman Tidak Berbayar 'Non Performing Loan' (NPL)

Malah jelasnya lagi, bank mempunyai tanggungjawab untuk mendapatkan balik duit yang dipinjamkan bagi mengelakkan kerugian dan keputusan bayaran balik tanpa faedah merupakan keputusan terbaik daripada bank.

Dalam pada itu, Hanipa yang turut mempersoalkan perkara ini telah ditimbulkan sekian lama, namun sehingga sekarang Bank Rakyat tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Kita juga hairan kenapa Deepak Jaikishnan begitu kebal dan istimewa apabila beliau diberikan keistimewaan sedangkan sebelum ini banyak pendedahan dilakukan Deepak membabitkan pimpinan tertinggi negara.

"Yang pasti jawapan menteri itu tidak menyakinkan, hanya sekadar menjawab bukannya menepati persoalan yang timbul," jelasnya lagi.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika perbahasan bagi RUU Perbekalan Tambahan 2014 turut mempersoalan pendedahan yang dilakukan oleh bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik yang dipecat kerana tidak setuju dengan arahan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Sri Hasan Malek berhubung penyelesaian hutang RM32 juta.

Ahmad yang menjawap persoalan tersebut memberitahu dakwaan tersebut tidak benar selain menyatakan Sabbaruddin turut memberitahu kenyataannya telah diputar belit media pembangkang.

Selain itu, beliau turut menjelaskan campurtangan menteri dalam urusan Bank Rakyat turut mendapat penafian daripada menteri terbabit.

"Tidak timbul bayaran yang sama seperti yang dipinjam, kita dah campur semua, jika ada individu kata sedemikian dia sebenarnya keliru.

"Cek tertunda tarikh itu tiada masalah sebaliknya dia bayar.

"Kononnya menteri campurtangan itu tidak ada, saya dah tanya menteri dan beliau sedia disiasat," jelas Ahmad ketika sesi penggulunggan.

Ahmad yang turut menegaskan Bank Rakyat dan juga kementerian bersedia untuk sebarang siasatan.