Thursday, June 12, 2014

Tolak soalan radar kesan pesawat MH370

  • Sim Chee KeongSim Chee Keong
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Tindakan Dewan Rakyat menolak soalan mengenai radar tentera yang mengesan pesawat MH370 pada malam 8 Mac lalu menimbulkan tanda tanya Sim Chee Keong (DAP-Bukit Mertajam).

Menurutnya, perkara tersebut tidak sepatutnya disembunyikan, kerana ia melibatkan kepentingan awam terutamanya kepada ahli keluarga penumpang dan anak-anak kapal.

"Empat hari menjelang 100 hari kehilangan MH370, rakyat Malaysia dan dunia masih dalam kegelapan.


“Sehingga kini tiada langsung laporan berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas diumumkan ketika pesawat didapati hilang,” katanya ketika sidang media di lobi, Dewan Rakyat di sini semalam.

Kata Chee Keong, surat yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rosmee Hamzah menolak soalan tersebut dengan alasan soalan Ahli Parlimen tidak boleh ditumpukan kepada perkara 'rahsia'.

Dalam soalan yang dikemukakan, Chee Keong, beliau meminta Menteri Pertahanan menyatakan secara terperinci radar tentera di pangkalan mana yang telah mengesan MH370 beberapa jam selepas ia hilang dari radar sivil dan syarikat mana yang membekal serta menguruskan radar tersebut?

Mengulas lanjut, Chee Keong berkata tiada apa patut disembunyikan kerana ia merupakan krisis antarabangsa.

“Ini bukan rahsia yang berpanjangan, kalau kita gagal, kita perlu buat pindaan.

“Jika kerajaan tidak bertindak balas pada ketika ini untuk menjalankan post-mortem dan menyediakan rancangan tindakan, ia akan terus menjadikan krisis ini sebagai yang terburuk,” katanya.