Thursday, June 12, 2014

Minyak masak Malaysia seberangi Sungai Golok




RANTAU PANJANG: Masalah kekurangan bekalan minyak masak seperti menjadi kelaziman di negara kita setiap kali menjelang Ramadan dan musim perayaan.

Pelik lagi aneh kerana Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit antara terbesar di dunia. Apakah puncanya, kelemahan pengurusan ladang atau masalah pemasaran.

Isu sukar mendapat bekalan minyak masak kedengaran di mana-mana. Bekalan bahan keperluan tersebut juga sukar diperolehi di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu.

Kekurangan bekalan itu memberi peluang kepada peniaga menaikkan harga minyak masak sehingga RM3.20 sekilogram.

Sedangkan harga biasa RM2.60 sekg. Malah ada kedai yang hanya menjual dua peket minyak masak sahaja kepada setiap pembeli.

Di Tumpat pula akhbar melaporkan pemborong “memaksa” peruncit membeli barang lain sebagai syarat untuk mendapat bekalan minyak.

“Kalau nak bekalan minyak masak, saya kena beli susu pekat manis. Saya juga diminta membeli gula sebagai syarat untuk membeli minyak masak,” lapor akhbar terbabit.

Masalah itu seperti tidak pernah selesai, apakah sebab musabatnya. Mungkin agak mengejutkan apabila tinjauan Harakahdaily kelmarin mendapati minyak cap 303, cap lada dan cap sukan banyak diangkut menyeberangi Sungai Golok.

Bekalan minyak berkotak-kotak yang tertera perkataan buatan Malaysia dipunggah ke tebing sungai dan diangkut pula dengan motosikal ke Bandar Sungai Golok.

Tinjauan ke Bandar Sungai Golok pula mendapati bekalan minyak tersebut diangkut ke tempat lain menggunakan perkhidmatan kereta api.

Malah seorang penduduk tempatan ketika ditemui mengakui bekalan minyak masak dari Malaysia mudah didapati di selatan Thailand.

“Saya diupah sebanyak RM15 setiap trip memunggah minyak masak dari tebing sungai ke stesen kereta api Sungai Golok,” katanya pekerja ketika ditemui.

Apakah ini faktornya sehingga bekalan minyak masak semakin sukar di pasaran tempatan. - HARAKAHDAILY 12/6/2014