Monday, June 9, 2014

Johor kaji bukti baharu Pulau Batu Puteh






Mohamed Khaled Nordin
< 1 / 1 >

NUSAJAYA - Kerajaan Johor bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa yang akan dikelola Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi mengkaji dan mendapatkan bukti baharu berkaitan Pulau Batu Puteh.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata permohonan untuk menyemak semula keputusan dalam kes Pulau Batu Puteh perlu dibuat sebelum tempoh 10 tahun daripada tarikh penghakiman berdasarkan Artikel 61(5), Bab III, Akta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). 

"Di dalam kes Pulau Batu Puteh, tarikh penghakimannya adalah pada 23 Mei 2008 dan ini bermakna, tempoh rayuannya akan tamat pada 23 Mei 2018.

"Dengan tertubuhnya jawatankuasa ini, ia dapat mengkaji serta mengumpul segala bukti baharu yang tidak dikemukakan pada proses penghakiman terdahulu," katanya pada penggulungan perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor hari ini.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu juga selari dengan Artikel 61(1) akta sama yang menyatakan bahawa setiap rayuan berhubung penghakiman terbabit hendaklah disertakan dengan bukti baharu yang kukuh.

Mohamed Khaled berkata bagaimanapun, segala rayuan mesti menerusi kerajaan Persekutuan memandangkan penghakiman itu adalah antara kerajaan Malaysia dengan Singapura, dan kerajaan negeri akan memohon kerjasama kerajaan Persekutuan untuk menanggung segala perbelanjaan.

Sultan Johor Sultan Ibrahim ketika perasmian pembukaan penggal persidangan kedua Dun Johor ke-13 pada 29 Mei lepas, bertitah agar kerajaan negeri menubuhkan satu pasukan khas bagi mengkaji untuk merayu keputusan ICJ berkaitan Pulau Batu Puteh.

Sultan Ibrahim bertitah langkah itu sejajar dengan pesanan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar, bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Johor dan pulau berkenaan mesti kekal menjadi sebahagian daripada negeri Johor. 

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri akan meneliti kesesuaian pelaksanaan penyeragaman cuti mingguan Johor antara agensi kerajaan dan swasta dalam sektor seperti perindustrian, perbankan dan kewangan selain faktor keluarga dan sosial.

"Kita juga akan membuat perbandingan dengan penggunaan cuti mingguan dengan negeri-negeri lain yang telah lama mempraktikannya seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan," katanya.

Mohamed Khaled berkata semua pihak mengetahui hasrat Sultan Johor menukar cuti mingguan ke hari Jumaat dan Sabtu ialah untuk menerapkan nilai agama dalam institusi keluarga, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam. 

Beliau berkata bagaimanapun, kerajaan negeri menyedari kebimbangan rakyat terhadap kurangnya masa bersama keluarga apabila cuti mingguan antara agensi kerajaan dan swasta tidak diseragam.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri tidak akan sesekali membenarkan pusat kasino beroperasi di Johor.

Menjawab isu yang dibangkit Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat (BN-Kempas), Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri sejak awal telahpun bertindak menghindari budaya judi dalam kalangan rakyat Johor, antaranya menerusi pemberhentian pemberian permit hiburan keluarga. 

Mengulas isu pemberian kontrak keselamatan di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia kepada sebuah syarikat asing yang turut dibangkit Tengku Putra Haron Aminurrashid, beliau berkata kerajaan negeri tidak pernah memberi kontrak kepada syarikat keselamatan luar bagi menjaga keselamatan Johor. 

"Segala permit membabitkan syarikat keselamatan memerlukan kelulusan daripada kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Dalam Negeri. Jadi tidak adil untuk menuduh kerajaan negeri sebagai menggadai keselamatan negeri kepada syarikat asing," katanya. - Bernama