Friday, June 27, 2014

Kalah Pemilihan Cabang, Masa Depan Khalid Sudah Berakhir


Tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia, seorang Menteri Besar tidak memegang apa-apa jawatan dalam politik.  Dalam UMNO tidak berlaku, dalam DAP tidak berlaku, sudah tentu dalam parti utama seperti PKR, ia juga tidak akan dibenarkan berlaku.

Jadi jawapan kepada masa depan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sesudah dia tewas di Cabang Kuala Selangor semalam sudah jelas - dia perlu berundur dari semua jawatan yang dipegangnya sekarang.

Walaupun Khalid ada satu lagi peluang, iaitu dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR, tapi percayalah, itu tidak akan berlaku.  Segalanya sudah siap diatur agar Azmin Ali kekal mengisi jawatan yang disandangnya sejak tahun 2010 itu.

Proses pemilihan yang masih berlangsung sehingga esok, tidak lebih dari satu formaliti semata-mata kerana kedudukan Azmin sudah terjamin.  Khalid harus menerima hakikat bagi kerusi Timbalan Presiden ini, dia sudah tidak ada peluang langsung.

Jika Khalid masih enggan berundur selepas semua ini pun (kalah jawatan Ketua Cabang dan Timbalan Presiden PKR), Khalid dikhabarkan bakal berhadapan dengan satu pertuduhan jenayah kerana membenarkan air tercemar dengan logam berat dari lombong disalurkan kepada rakyat.

Segala dokumen dan bukti telah disiapkan Pakatan Rakyat untuk diserah kepada polis dan SPRM, hanya menunggu Khalid membuat keputusan nak berundur secara sukarela atau tidak sahaja.  

Bagaimanapun, Pakatan Rakyat kalau boleh tidak mahulah nak sampai ke tahap itu.  Khalid patut faham sendiri bahawa tempoh masanya sebagai Menteri Besar Selangor sudah berakhir dan orang lain perlu mengambil alih jawatan itu.

Apa pun yang dibuat Pakatan Rakyat sekarang adalah untuk kebaikan rakyat dan Khalid sendiri.  Khalid terbukti sudah tidak layak menjadi Menteri Besar lagi dah.  

Dari kegagalan menguruskan isu berkaitan Bible yang dirampas dan kemudian enggan dipulangkan oleh MAIS sehingga mendedahkan rakyat Selangor dengan risiko penyakit akibat minum air lombong yang tercemar, sudah cukup untuk menghantar Khalid keluar dari pejabatnya di Shah Alam.

Cukuplah Khalid, berundurlah.