Wednesday, June 4, 2014

Kekalahan Dyana bukannya disebabkan PAS, kata Mahfuz

mahfuz
PETALING JAYA: Tindakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat DAP, Gobind Singh Deo yang menyalahkan PAS ekoran kegagalan mempertahankan kerusi parlimen Teluk Intan dilihat sebagai satu tindakan yang tidak masuk akal.

Menurut Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar, tindakan Gobind yang menyalahkan PAS sebagai punca kekalahan PRK di Teluk Intan itu akan lebih merendahkan martabat beliau sebagai ahli parlimen dan juga sebagai seorang pemimpin.
“Itu merupakan satu analisa yang tidak masuk akal dan tidak logik,” katanya sewaktu dihubungi FMT.

Jelasnya lagi, Gobind tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian hal ini kerana PAS tidak bertanding dalam PRK tersebut.
“Kekurangan undi terhadap calon DAP Dyana Sofya bukannya di sebabkan pendirian PAS untuk melaksanakan hudud, tetapi disebabkan pengundi Teluk Intan yang tidak keluar mengundi pada hari mengundi tersebut.
“Kalau yang bertanding itu calon PAS, sudah tentu pengundi Cina tidak akan mengundi dan akan pergi mengundi BN pula, tetapi sebaliknya berlaku,” katanya.
Ujar ahli parlimen Pokok Sena itu lagi, pertambahan undi bagi pengundi Cina yang mengundi BN tidak sampai seratus.
Dyana tidak sokong hudud
“Kekalahan DAP bukannya disebabkan PAS, kerana yang bertanding adalah calon DAP, dan calon tersebut juga telah menyatakan pendirian tidak akan menyokong rang undang-undang perlaksanaan hukum hudud yang akan dibentangkan di Parlimen kelak.
“Malah, kita tahu bahawa DAP dari dahulu lagi secara konsisten menyatakan bahawa tidak akan menyokong perlaksanaan hudud,” ujarnya.
Dalam pada masa yang sama Mahfuz turut menasihatkan Gobind agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Saya berharap Gobind lebih berhati-hati dan tidak lagi mengeluarkan kenyataan sedemikian. Malah saya percaya itu bukannya pandangan yang mewakili pendirian DAP tetapi hanyalah pandangan spontan dan peribadi beliau
“Kekalahan calon DAP Dyana Sofya kepada calon Gerakan Datuk Mah Siew Keong harus dilihat dari kepada pelbagai sudut dan juga pelbagai faktor,” jelasnya.
Mahfuz berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Gobind menerusi laman Facebook miliknya hari ini.
Gobind telah mengeluarkan kenyataan bahawa pendirian PAS untuk melaksanakan hukum hudud telah mengakibatkan berlaku protes secara senyap terhadap pembangkang.
Malah Gobind turut memberitahu bahawa kebanyakan pengundi di Teluk Intan tidak menyokong hudud malah mereka berpandangan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.