Monday, June 30, 2014

Kepala lembu: Respons menteri tidak cerminkan ajaran Islam


KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) amat kesal dengan respons yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri berkaitan insiden kepala lembu yang ditinggalkan di luar rumah seorang ahli politik beragama Hindu di Pulau Pinang. 

Presiden Abim, Amidi Abd Manan berkata, perbuatan itu dengan jelas adalah satu penghinaan terhadap penganut agama Hindu.

"Respons yang diberikan oleh beliau tidak mencerminkan ajaran Islam," ujarnya kepada Harakahdaily. 
Katanya, Islam mengajar umatnya agar menghormati agama lain dan menegah sebarang perilaku yang bermotifkan penghinaan.

"Tegahan ini jelas disebut dalam Surah al-An'am ayat 108 yang menegaskan bahawa penghinaan terhadap sembahan agama lain akan menyebabkan penganut agama lain menghina agama Islam," ujarnya lagi. 

Beliau menambah, respons yang sedemikian memberikan imej yang negatif selaku pemimpin 'negara Islam' yang tidak mempraktikkan ajaran al-Quran.

Sepatutnya, kata beliau kenyataan berkaitan status Malaysia sebagai negara Islam mestilah disertai dengan perkataan, sikap dan tindakan yang benar-benar menepati ajaran Islam terutamanya perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara pelbagai agama. -HARAKAHDAILY 30/6/2014