Monday, June 30, 2014

Pas sorok isu Lotfi demi nama baik parti


  • Mustafa Ali Mustafa Ali
 1 / 1 
SHAH ALAM - "Ianya isu dalaman yang boleh jejaskan nama baik parti, itulah sebabnya kami tak dedahkan perkara tersebut," tegas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu penyertaaan seorang bekas pemimpin Dewan Ulama Pas, Lotfi Ariffin yang menyertai perjuangan di Syria namun dirahsiakan daripada masyarakat sebelumnya dan hanya didedahkan media baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan ke atas bekas ahli Pas tersebut telah pun diambil dan pihaknya tidak mahu memperbesarkan perkara ini.


"Pihak kami tidak mahu sebarkan perkara ini kepada media, ianya boleh memberi kesan kepada parti," katanya.

Mengulas semula insiden tersebut, beliau mengesahkan laporan hanya diterima oleh pihak Pas Pusat semasa dalam mesyuarat bulan Mei tahun ini dan hanya setelah Lotfi ke Syria.

"Penglibatan beliau dalam jihad di Syria diketahui sejak April dan kami dapat laporan mengenai perkara tersebut dari ahli kami sendiri dalam mesyuarat pada bulan Mei, susulan dari laporan yang kami terima, kami siasat dan jumpa bukti beliau memang sudah ke sana untuk berjihad.

"Pada waktu laporan diterima, kami tidak berjumpa dengannya, dia sudah berada di Syria," jelasnya.

Beliau juga menegaskan pihaknya tidak pernah bersemuka dengan Lotfi sejak daripada itu.

Terdahulu, negara dikejutkan dengan kenyataan seorang bekas ahli Pas, Ustaz Lotfi Ariffin menyertai perjuangan di Syria.

Dakwaan tersebut dibuat susulan dengan penemuan gambar beliau dan klip video mengenainya di Syria yang dimuat naik ke media sosial.

Sehubungan dengan itu, pihak Pas Pusat menjamin akan mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli Pas yang didapati memberi kerjasama atau menyertai sebarang aktiviti dan perjuangan jihad.