Sunday, June 22, 2014

Khairy perlu usaha arah JPA tarik balik surat tunjuk sebab


KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin perlu meyakinkan kabinet untuk menarik balik surat tunjuk sebab yang diberikan kepada pelajar Canberra, Aslam Abdul Jalil.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, sebagai seorang menteri yang menyokong keterbukaan, Khairy harus berusaha memastikan surat tersebut ditarik balik.

“Saya memohon pertimbangan Khairy yang selama ini menyokong agar pelajar lebih bersikap terbuka demi meningkatkan pemikiran kritis serta kemahiran analisis mereka, selain bagi menyuburkan nilai-nilai demokrasi, agar beliau berusaha memastikan Kabinet mengeluarkan arahan supaya JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) di Australia menarik balik surat tunjuk sebab yang tidak wajar itu,” ujar Tony dipetik Roketkini.

Pada 18 Jun lalu, Aslam seorang pelajar tahun akhir Universiti Nasional Australia (ANU) telah diberikan surat tunjuk sebab oleh JPA kerana mengambil  bahagian dalam forum bersama Tony dan Fello Jabatan Politik & Perubahan Sosial ANU Dr John Funston.

Forum bertajuk ‘Race, Religion dan Royalty’ itu telah dianjurkan oleh Canberra Malaysia Interest Group di ANU pada 22 April 2014.

Menurut Tony, perbincangan dalam forum itu langsung tidak mempunyai sebarang unsur hasutan, penghinaan terhadap mana-mana kaum, agama mahupun raja.

Justeru itu, beliau percaya bahawa “surat tunjuk sebab kepada Aslam jelas telah diberikan dengan niat jahat untuk menakut-nakutkan dan menindas pelajar kita di luar negara”.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menjelaskan bahawa beliau ke Australia kerana mendapat jemputan untuk berucap di Sidang Kemuncak Australia Malaysia (MASA) di Melbourne.

Namun, jemputan kepada beliau telah dibatalkan oleh pihak penaja MASA kerana khuatir ia tidak selari dengan kepentingan beberapa pihak.

Pembatalan jemputan itu telah mendapat respons daripada Khairy, yang menentang langkah tidak mencerminkan berprinsipkan demokrasi tersebut menerusi akaun twitter beliau: “@ Tonypua For what it’s worth I raised the matter last cabinet & said your ‘disinvitation’ was wrong & shouldn’t happen again”.

(Saya telah membangkitkan perkara ini dalam kabinat lepas & menyatakan ‘pembatalan jemputan’ itu salah dan tidak harus berulang.)

Menurut Tony, langkah yang diambil ke atas Aslam jelas menunjukkan bahawa Kabinet tidak menghargai pandangan Khairy.

“Perkembangan terkini jelas menunjukkan bahawa Kabinet tidak menghargai pandangan Khairy," ujarnya.

Ini, katanya kerana tindakan memberi surat tunjuk sebab kepada seorang pelajar adalah lebih berat daripada sekadar ‘membatalkan jemputan’ kepada seorang ahli politik pembangkang