Monday, June 30, 2014

KUIZM suburkan majlis ilmu sepanjang Ramadhan



KUALA LUMPUR: Setiap tahun umat Islam menyambut Ramadan yang juga bulan untuk kita menguji ketahanan mental dan fizikal. Sambutan di tempat lain mungkin berbeza-beza. 

Di Taman Melewar sambutan Ramadhan sangat meriah. Selain meriah dengan bazar Ramadhan, solat terawih dan majlis ilmu juga dianjurkan di sini.

Orang ramai berpusu-pusu di bazar Ramadhan Taman Melewar untuk persiapan juadah berbuka puasa. Aktiviti Bazar Ramadhan yang diadakan ini telah menawarkan pelbagai juadah makanan dan minuman kepada para penduduk di sekitar sini.

Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar menganjurkan jamuan berbuka puasa di dataran kolej tersebut dari awal sehingga akhir Ramadhan. 

Sebanyak 12 khemah didirikan untuk para jemaah berbuka puasa yang menempatkan bahagian untuk lelaki dan perempuan.

2 orang imam telah dilantik untuk bertugas mengimami solat terawih di KUIZM sepanjang bulan Ramadhan ini. 

Imam hafiz ini adalah terdiri daripada mahasiswa kolej tersebut. Di sini para jemaah mendirikan 11 rakaat solat terawih beserta witir.

Majlis Tafaqquh Dan Tarbiyah (Maqtar) menganjurkan kuliah Ramadhan dengan tema 'Sebulan Bersama Hudud' di kolej tersebut yang memeriahkan lagi suasana melalui aktiviti menyuburkan budaya ilmu.

Kuliah diadakan selepas 4 rakaat solat terawih. Kuliyah Ramadhan ini juga boleh diikuti secara live di channel youtube TV Maqtar. Jadual kuliyah boleh didapati di laman rasmi facebook Dewan Ulamak PAS Pusat.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi telah menyempurnakan pelancaran kempen Bulan Ramadhan, Bulan Tarbiah di KUIZM, Taman Melewar, malam semalam. 

Pelancaran berlangsung sebelum forum bertajuk Janji-Janji Allah & Rasul Mengenai Kerahmatan Dalam Pelaksanaan Jenayah Syariah. -HARAKAHDAILY 30/6/2014