Monday, June 30, 2014

Perkasa sokong kenyataan Zahid isu kepala lembu

perkasa cow heads
PETALING JAYA: Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali menjelaskan Perkasa bukannya ingin membodek atau mengampu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, namun ternyata komen beliau terhadap isu kepala lembu yang dilempar di depan rumah Adun Seri Delima R.S.N. Rayer memang tepat.

Menurutnya lagi, bukan sahaja Rayer, mana-mana pihak yang menjadi punca kemarahan orang ramai perlu beringat keceluparan mulut boleh membawa binasa.

“Perlu diingat bahawa kenyataan-kenyataan garang pemimpin masyarakat Melayu adalah berpunca dari kebiadapan sesetengah pemimpin politik dan masyarakat bukan Melayu yang memulakan provokasi terhadap orang Melayu dengan mengusik kepentingan Melayu dan Bumiputera serta kepentingan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya lagi, bila kita lihat kembali kenyataan-kenyataan yang agak keras daripada pemimpin-pemimpin Melayu, ini adalah kerana pihak-pihak bukan Melayu yang terlebih dahulu membuat provokasi terhadap orang Melayu dan Islam.
“Pelbagai isu yang menyinggung perasaan orang Melayu dan Islam telah dilakukan oleh pihak bukan Melayu dan bukan Islam,” katanya.
Tambah beliau lagi, isu hak Melayu dan Bumiputera, kuota Bumiputera, biasiswa, AP, kroni, isu lesbian gay biseksual dan transgender (LGBT) yang tidak diterima oleh Islam terus diperjuangkan dan pelbagai kenyataan yang mengguris hati orang Melayu dan Islam terus dilakukan.
“Kamu mula dahulu, kami menjawab. Jangan melenting kerana kamu yang memulakan dahulu,” katanya.
“Tidak ada warga Palestine yang hendak bunuh diri dengan letupkan bom di badan jika Israel dan Amerika Syarikat tidak bertindak kejam terhadap umat Islam,” ujarnya.