Wednesday, June 18, 2014

Mahu lebih dua pemimpin jadi menteri Kabinet


  • Pengerusi MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw Pengerusi MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU - Pengerusi MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw berharap lebih dua pemimpin MCA akan dilantik sebagai menteri dalam barisan Kabinet baharu kelak.

Menurutnya, pelantikan seorang atau dua orang pemimpin masih tidak mampu memenuhi keperluan masyarakat Cina di negara ini.

“Kita harap perkara ini diambil kira agar pemimpin dapat memainkan peranan sebaiknya. Kalau ada tiga atau empat pemimpin, mungkin boleh seimbangkan dengan keperluan di 14 negeri. Di Terengganu, MCA kalah, tapi rakyat perlu juga dijaga,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi perubahan Kabinet berikutan persetujuan MCA untuk menyertai semula barisan Kabinet dan kemenangan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan.

Kata Chin Yaw, pelantikan pemimpin MCA sebagai menteri bukanlah pilihan, tesebaliknya keperluan dalam meningkatkan imej BN.

Bagaimanapun, Chin Yaw enggan mengulas ketika ditanya sama ada pelantikan itu akan meningkatkan sokongan kaum Cina terhadap BN atau sebaliknya dengan penyertaan semula pemimpin MCA dalam Kabinet, sambil memberitahu perkembangan politik sentiasa berubah.

Mengulas lanjut, katanya, pelantikan pemimpin MCA itu mampu memperlihatkan wajah sebenar Malaysia yang dihuni masyarakat majmuk.

“Walaupun kita kalah teruk, tetapi peluang perlu diberikan kepada parti Cina bagi mewakili BN dalam mendengar keperluan mereka. Oleh sebab kita parti utama kaum Cina, BN perlu ambil faktor itu untuk melantik lebih ramai pemimpin MCA dalam barisan

Kabinet sekali gus memberi keyakinan kepada banyak pihak,” katanya.

Namun, Chin Yaw yakin dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mempertimbangkan perkara tersebut.

“Kita boleh bincang, tapi tak boleh melebih-lebih. Kita yakin Perdana Menteri akan buat keputusan bijak dan semua pihak perlu menghormati keputusan itu,” katanya