
KUALA LUMPUR:Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin mempersoalkan sama ada Kementerian Pendidikan Malaysia telah membincangkan Rang Undang-undang (RUU) Yayasan Guru Tun Hussein Onn 2014 dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).
Ketika ditemui Harakahdaily, beliau berkata NUTP sebagai kesatuan paling besar dan mewakili keseluruhan guru di Malaysia sepatutnya dilibatkan dalam penggubalan RUU tersebut.
"Namun pada Seksyen 10 bagi anggota lembaga dalam yayasan ini tidak ada seorang pun wakil guru, kalau dah kata nak bantu guru kenapa tidak ada wakil guru?
"Atas sebab itu, saya mencadangkan agar wakil dari NUTP dimasukkan sekali dalam yayasan yang dicadangkan kerana NUTP mewakili keseluruan guru di negara ini," jelasnya.
RUU Yayasan Guru Tun Hussein Onn 2014 dikemuka untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam.
RUU itu dikemukakan Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan bertujuan menubuhkan perbadanan Yayasan Guru Tun Hussein Onn.
Yayasan itu akan mengambil alih fungsi dan peranan Kumpulan Wang Simpanan Guru yang dicadang dibubar oleh rang undang-undang tersebut.
Menurut Hanipa lagi, persoalan turut timbul mengenai kedudukan kewangan di dalam kumpulan wang simpanan tersebut apabila ianya dimansuhkan.
Jelas beliau, di bawah Seksyen 6(2)(a) RUU tersebut dinyatakan bahawa yayasan hanya boleh melabur melalui syarikat yang ditubuhkan olehnya tanpa menyatakan kedudukan kewangan terdahulu.
"Kita ingin mengetahui tentang kedudukan kewangan yang terdahulu sebab tak ada dari sudut perundangan tentang makluman kedudukan kewangan dari Kumpulan Wang Simpanan Guru.
"Keduanya, kenapa diperuntukkan hanya labur kepada syarikat yang yayasan tubuh sahaja? Sepatutnya ia boleh melabur di syarikat-syarikat besar yang kewangannya kukuh seperti mana dilakukan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.
Menurut beliau, yayasan yang bakal ditubuhkan sepatutnya diberi kebenaran untuk melebarkan pelaburan kepada syarikat-syarikat yang berpotensi.
Selain itu beliau turut mempertikaikan cadangan kerajaan di dalam Seksyen 5 RUU tersebut supaya yayasan membuat kajian dalan usaha meningkatkan tahap pendidikan.
"Kajian sepatutnya dilakukan oleh kementerian dan bukannya yayasan; fungsi utama yayasan adalah membantu guru dari segi kewangan.
"Jika kajian pun yayasan ingin lakukan maka akan timbul terlalu banyak peranan yayasan dan satu masa akan menyusahkan yayasan itu sendiri.
"Selain itu jika kita kata kajian maka wang yayasan akan digunakan untuk kajian, kita tidak mahu wang dari yayasan disalah guna," sambung beliau. - HARAKAHDAILY, 10/6/2014