Tuesday, June 10, 2014

Pairin persoal kenapa MCA terima Hiew tanpa konsensus

download(1)
KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (gambar) mempersoalkan kenapa MCA menerima Ahli Parlimen Bebas Luyang, Hiew King Cheu dalam parti itu tanpa mendapat persetujuan daripada parti-parti komponen dalam Barisan Nasional negeri Sabah.

“Adakah ini disebabkan mereka (MCA) tidak berjaya memperolehi banyak kerusi di Semenanjung? Kenapa apabila mereka diberi peluang untuk bertanding di Bukit Gelugor mereka tidak melakukannya?,” katanya mengulas mengenai kemasukan Hiew dalam BN melalui MCA.

Beliau merujuk kepada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor di Pulau Pinang pada 25 Mei yang mana BN tidak mengetengahkan sebarang calonnya. Pilihan raya diadakan berikutan kematian Anggota Parlimen Karpal Singh pada 17 April. Pilihan raya itu dimenangi anak Karpal Singh, Ramkarpal Singh.
Dua hari yang lalu, Presiden MCA Datuk Dr Liow Tiong Lai memberitahu bahawa kemasukan Hiew dalam partinya mendapat kebenaran daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
MCA yang mengalu-alukan permohonan Hiew berkata, parti itu akan memproses permohonan mengikut prosedur.
Sebelum meletak jawatan daripada Parti DAP Sabah pada tahun lalu, Hiew berkata, beliau tidak akan menyertai mana-mana parti BN dan kekal sebagai wakil rakyat Bebas.
Menurut Pairin, perkembangan terbaru itu bukannya sesuatu yang baik tetapi mengelirukan anggota komponen BN yang lain yang memegang prinsip konsensus.
Oleh itu PBS katanya, akan menulis kepada kepimpinan pusat BN berhubung perkara itu dengan menekankan semangat konsensus yang menjadi tunggak utama perpaduan BN tidak diamalkan.
“Saya akan suarakan perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN nanti. Saya sedar bukan saya seorang sahaja yang mempersoalkan perkara ini. Anggota komponen lain juga turut menekankan semangat konsensus perlu diguna pakai sebelum membuat sesuatu keputusan.
“BN mesti terus mendukung semangat konsensus ini ketika membuat keputusan demi untuk kebaikan semua anggota,” katanya menambah dengan persetujuan bersama, ia memaparkan keikhlasan, rasa hormat dan komitmen di kalangan parti BN.
Apa yang jelas berlaku kata Pairin, penerimaan Hiew dalam BN tidak mendapat konsensus daripada parti komponen BN yang lain.
Setiausaha Agung PBS, Datuk Johnny Mositun juga menjelaskan bahawa sepatutnya perlu ada kata sepakat sebelum membuat keputusan kerana ia adalah hak prinsip yang diguna pakai sebelum ini.
“Walaupun Perdana Menteri dan Ketua Menteri membenarkannya, keputusan itu sepatutnya mendapat persetujuan daripada semua parti komponen,” katanya.
Prinsip konsensus di antara 13 parti komponen Barisan Nasional (BN) Negeri Sabah adalah ‘pelekat’ untuk menyatupadukan parti-parti politik ini supaya tidak berpecah dan tidak bersaing sesama sendiri.
Ia adalah prinsip yang dipersetujui akan didukung oleh semua pemimpin parti ketika memutuskan untuk bergabung menjadi pakatan pemerintah.
Sementara itu, Pengerusi Tetap Pertubuhan United Pasokmomogun Kadazan Dusun (Upko) Michael S Malanjun berkata, tindakan pemimpin tertinggi itu dengan tidak berbincang dengan parti komponen lain, menyalahi prinsip bersama yang menjadi tunggak perpaduan 13 komponen BN negeri Sabah.
“Sepatutnya ada standard persetujuan demi untuk menghormati setiap anggota komponen,” katanya menambah mungkin ada agenda tersirat daripada tindakan kedua-dua pemimpin tertinggi itu tidak bermuafakat dengan parti lain.
Katanya, tindakan itu tidak konsisten dan walaupun BN menang dua pertiga dalam pilihan raya umum yang lalu, ia tidak patut menggunakan kuasa dengan membelakangkan kepentingan parti yang lain.