Saturday, June 21, 2014

Pas Selangor perlu bertindak

  • Noh OmarNoh Omar
 1 / 1 
SHAH ALAM - Pas Selangor digesa mengambil tindakan tatatertib terhadap ahlinya yang dilihat cuba mencemar dan menghina kedaulatan dan Institusi Raja  negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan empat pemimpin Pas Selangor mendesak Majlis Agama Islam Selangor (Mais) supaya  tidak diberi kuasa dengan meminda enakmen dalam menjaga kedaulatan Islam di negeri ini adalah penghinaan kepada Sultan.

Menurutnya, Pas Selangor tidak boleh lepas tangan terhadap tindak tanduk ahlinya walaupun kenyataan ahli itu dikatakan hanya sekadar pandangan peribadi.


"Sekiranya Pas memperjuangkan dan mempertahankan institusi raja di negeri ini maka mereka perlu ikhlas serta jujur dalam prinsip perjuangan mereka.

"Tidak kira apa jua tindakan yang diambil, Pas harus tegas kerana secara tidak langsung, kenyataan tersebut telah menghina Sultan yang menjadi lambang perpaduan ," katanya kepada Sinar Harian.

Menyentuh perkara sama, Noh berkata, walaupun terdapat perbezaan fahaman politik, tidak semua perkara boleh dipolitikkan.

Jelasnya dalam isu ini, jangan kaitkan agama dalam politik dan hormati Sultan kerana baginda adalah ketua agama.

"Isu agama jangan sesekali dipolitikkan kerana ia sangat sensitif dan boleh memecahkan perpaduan," katanya.