Monday, June 2, 2014

Presiden PAS kongsi gambar dari katil hospital


KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam turut berkongsi sekeping gambar dari katil hospital di Facebook beliau.

Dalam gambar tersebut beliau mengangkat tangan sebagai memberitahu keadaan beliau semakin baik.

Gambar tersebut diiringi mesej ucapan terima kasih kepada yang telah mendoakan kesihatan beliau.

"Saya mengucapkan terimakasih kepada semua kalangan yang mendoakan kesihatan, memberikan bantuan dan kata semangat sepanjang saya mengalami masalah kesihatan semasa di Istanbul ini.

"Alhamdulillah saya dapat merasakan kesihatan saya bertambah baik. 

Saya juga berdoa agar Allah SWT memberikan kesihatan ini untuk meneruskan usaha membawa amanah dari Allah SWT. Terima kasih semua," katanya.

Ustaz Hadi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di Medipol Universitesi Hastanesi, Istanbul Jumaat lalu akibat masalah kesihatan. 

Sementara itu, beberapa anggota keluarga terdekat Ustaz Hadi juga telah tiba di sana semalam termasuk isteri Toh Puan Seri Zainab Awang Ngah dan anaknya Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Abdul Khalil dalam kenyataannya semalam berkata keadaan Ustaz Hadi semakin baik sudah boleh bercakap serta duduk di kerusi.

"Masa saya masuk dalam wad, beliau sedang duduk atas kerusi dan sambil tersenyum dia berkata dengan bersemangat, "Ayah baru sudah tengok berita dalam Aljazeera"," katanya.

Selain mereka, turut melawat Ustaz Hadi semalam termasuk pimpinan PAS antaranya Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Datuk Husam Musa, Pengarah Pilihan Raya Dr Mohd Hatta Ramli dan Pesuruhjaya PAS Melaka Adly Zahari. -