Friday, June 27, 2014

Sabah alu-alukan penyertaan MCA, Gerakan

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan rombakan kabinet kerajaan Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang diyakini akan memantapkan pentadbiran negara.

"Sudah tentu dengan adanya gabungan semua suku kaum termasuklah daripada kaum Tionghua dalam kabinet persekutuan, ia akan memantapkan lagi gabungan kabinet persekutuan sedia ada.

"Kita berharap ia akan memberi manfaat besar kepada rakyat keseluruhannya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kepada 25 penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) di sini hari ini.

Musa berkata dengan penyertaan pemimpin daripada MCA dan Gerakan dalam pasukan kepimpinan negara, ini bermakna semua parti komponen BN diberi tempat untuk memberi khidmat kepada kerajaan dan yang terpenting sekali kepada rakyat.

Semalam, Najib mengumumkan perlantikan lima anggota MCA dan seorang anggota Gerakan dalam barisan jemaah menteri.

Mereka ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lee Chee Leong; Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong; dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Sementara Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, berhubung Ops Gasak di daerah Kunak, satu daripada 10 daerah di bawah Zon Selamat Timur Sabah (ESSZOne), Musa yang juga Pengerusi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) berkata operasi berkenaan merupakan operasi biasa anggota keselamatan.

"Kita akan mengadakan operasi dari masa ke semasa untuk memantau dan bagi memastikan keselamatan negeri kita ini sentiasa terjamin," katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan penahanan seorang anggota polis berpangkat koperal sebagai antara enam yang ditahan kerana disyaki menganggotai kumpulan pengganas Sulu dalam operasi itu.

Enam individu ditahan itu ialah Koperal Zainuddin Mislani, Abu Bakar Jayari@Alex, 60; Ilyasa Abu Bakar@Maharaja Omar; Kassim Ibrahim (disyaki
pendatang tanpa izin); Industan@Md Bustan Lumatang@Hindustan, 55, dan Sitti Nukah Abdul Lama, 56, yang juga isteri Kassim. - Bernama