Friday, June 6, 2014

Setiap Orang Bebas Menukar Agama Di Negeri-Negeri PR


Pelbagai isu membabitkan perebutan hak jagaan anak oleh pasangan bercerai apabila salah seorang memeluk agama lain ini, menginsafkan Pakatan Rakyat akan keperluan untuk meluaskan hak mengamalkan agama dengan bebas ini kepada semua rakyat - bukan setakat orang bukan Islam saja.

Idea ini bukan baru, malah pernah dibangkitkan beberapa kali sebelum ini oleh pemimpin-pemimpin kanan Pakatan Rakyat seperti Nurul Izzah dan beberapa orang lagi.

Malangnya, hasrat rakyat untuk melihat perkara tersebut berlaku di negara ini agak terhalang kerana ia berlawanan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dibawah fasal pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.
Tapi perlembagaan yang sama, dibawah Perkara 76A, memberi kuasa kepada parlimen untuk meluluskan undang-undang untuk dilaksanakan di peringkat negeri - pendekatan sama diambil kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hudud di negeri itu.

Maka itu, semua negeri-negeri dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat akan mengemukakan rang undang-undang persendirian mengenai Kebebasan Beragama di negeri masing-masing untuk diluluskan parlimen dalam persidangan yang akan datang.

Rang undang-undang itu akan mengenepikan Perkara 11 dan seterusnya memberikan hak kepada semua rakyat negeri masing-masing untuk menukar agama tanpa sekatan atau sebarang tindakan undang-undang.

Terutama di kalangan orang Islam.

Rang undang-undang ini juga akan memperincikan jalan penyelesaian kepada pasangan yang mempunyai anak, siapa yang menjaga anak-anak bila perkahwinan terbatal kerana salah satu pasangan bertukar agama dan sebagainya.

Kerajaan persekutuan, UMNO dan BN masih gagal menyelesaikan masalah itu sehingga sekarang berikutan kegagalan mereka untuk menyelesaikan perbezaan kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Pakatan Rakyat yakin, berbanding dengan rang undang-undang hudud yang mendapat tentangan keras termasuk dikalangan ahli Parlimen UMNO seperti Nur Jazlan Rahmat, rang undang-undang Kebebasan Agama itu nanti akan diluluskan dengan mudah.

Ini berikutan jumlah ahli parlimen bukan Islam BN, jika dicampurkan dengan 88 kerusi Parlimen milik Pakatan Rakyat, sudah cukup untuk mendapat majoriti mudah bagi memastikan undang-undang tersebut dilaksanakan.