Wednesday, June 11, 2014

SPAD terima 397 aduan di Bukit Bintang

SPADBANGSAR: Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar mengucapkan terima kasih kepada pemandu-pemandu teksi yang tidak menyertai demostrasi di Bukit Bintang, minggu lalu.
Katanya, tindakan mereka menyertai demostrasi telah menyebabkan pemandu lain tersekat dalam kesesakan lalu lintas selama tiga jam.
Namun begitu, katanya, SPAD hanya akan ambil tindakan jika mereka bertindak melakukan sesuatu di luar batasan.

“Sekiranya mereka bawa masalah terhadap orang ramai , kami di SPAD akan lindungi hak orang awam. SPAD tidak bertindak secara melulu,” tegasnya.
Beliau yang juga bekas Menteri Dalam Negeri berkata, setakat ini, SPAD menerima 397 aduan di Bukit Bintang.
Antara aduan yang diterima seperti teksi tidak menggunakan meter, teksi tidak menunggu di petak khas yang ditetapkan sehingga menggangu lalu lintas, ulat teksi dan sebagainya.
“Baru- baru ini, kita sudah tangkap 241 buah teksi. We are not against the taxi driver, pemandu teksi yang jujur dalam memberikan perkhidmatan, this is the great majority. Kami amat hargai sebahagian besar pemandu teksi yang patuh kepada undang-undang,” jelasnya.
Katanya, SPAD amat menitik beratkan serta menjaga kebajikan pemandu-pemandu teksi.
“Kita sekarang berada di peringkat terakhir untuk meneliti isu-isu berkaitan bagi memudahkan lagi kemampuan para pemandu teksi untuk mencari rezeki,” ujarnya.
Tambah beliau, DBKL telah menyediakan petak khas dan turut mendapat kerjasama dari pihak Pavilion. Tetapi pertubuhan pemandu teksi yang dikenali sebagai ‘Bistari’ ini tidak mahu diganggu oleh pihak berkuasa.
“Ada di antara mereka yang mempertikaikan, kenapa pemandu teksi di kawasan KL Sentral, Bangsar (pejabat SPAD) boleh meletakkan teksi mereka di luar petak menunggu sedangkan di Pavilion tidak boleh. Saya ingin bertanya balik pada individu berkenaan, jalan di KL Sentral ini sama panjang ke dengan jalan di Pavilion?
“Kawasan itu paling sesak di Kuala Lumpur. Amatlah tidak logik untuk para pemandu teksi menunggu di sepanjang jalan. Ini akan menambahkan lagi kesesakan lalu lintas. Apa yang mereka mahukan adalah lebih banyak petak khas bagi menunggu penumpang di sepanjang Bukit Bintang.
“Kepada para pemandu teksi yang mengadakan mogok besar-besaran tempoh hari, saya fikir ini bukan caranya. Setakat ini, DBKL telah sediakan lapan petak untuk mereka letakkan teksi mereka bagi menunggu penumpang, dua daripadanya digunakan untuk menurunkan penumpang,” katanya.
Beliau berharap agar semua pemandu teksi dapat memberi kerjasama bagi kesenangan semua pengguna jalan raya di sekitar kawasan Bukit Bintang memandangkan projek pembinaan MRT sedang dijalankan di kawasan tersebut.
“Jika ada masalah, datang ke pejabat SPAD, bukan buat mogok di jalan raya sehingga menyusahkan orang lain,” katanya.