Sunday, June 22, 2014

PAS Nafi Hadi Jadi Punca

  • Syarhan HumaiziSyarhan Humaizi
 1 / 1 
Syarhan Humaizi

SHAH ALAM – Pemuda Pas Selangor hari ini mempertahankan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjadi mangsa fitnah selepas didakwa menjadi penghalang untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada jawatan Menteri Besar Selangor.

Ketua Pemudanya, Syarhan Humaizi Abd Halim menegaskan serangan sebuah portal berita dalam isu tersebut dengan mempergunakan Pas sebagai peluru, cuba menampakkan ia adalah keputusan parti itu yang mahukan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak tersebut disingkirkan sedang ia tidak berlaku.

“Saya amat bersetuju dengan kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abd Samad sebelum ini yang menafikan Pas Selangor ingin menolak Abdul Khalid dalam beberapa kenyataan yang mengelirukan.


“Yang lebih memeritkan, kenyataan itu dibuat oleh salah seorang Ahli Parlimen Pas Selangor yang membelakangkan keputusan parti, dengan penuh biadap peluru itu ditujukan pula kepada Presiden Pas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita mendedahkan kegagalan menyingkirkan Adun Pelabuhan Klang itu daripada jawatan nombor satu dalam kerajaan negeri sejak PRK Dun Kajang disebabkan beliau mempunyai hubungan baik dengan Presiden Pas.

Laporan itu juga menyebut, walaupun PKR dan DAP terus menekan Abdul Khalid, langkah “Kajang Move” tidak memberi kesan kerana Abdul Hadi sehingga kini masih tidak menyokong usaha untuk mengenepikan Abdul Khalid daripada kerusi tertinggi dalam negeri terkaya itu.

Sehubungan itu, Syarhan Humaizi mencabar portal berita terlibat mendedahkan ‘sumber dalaman’ yang didakwa memberi maklumat dengan cuba memecahbelahkan kepimpinan Pas.

“Saya mencabar media yang menyatakan 'sumber dalaman' itu untuk menyatakan siapa gerangan 'sumber dalaman' dan saya akan tunjukkan itulah munafik yang sedang melaga-lagakan Pas,” katanya lagi.