Wednesday, June 25, 2014

Ugutan ‘memancung kepala’ Perkasa cemarkan imej Islam, kata Khalid Ibrahim

khalid ibrahim
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini kesal dengan ugutan “memancung kepala” yang dibuat oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Menurut Khalid tindakan tersebut hanya akan memberi kesan buruk kepada keharmonian pelbagai bangsa dan agama di Malaysia khususnya di Selangor.
“Jelas ugutan yang dibuat oleh Perkasa tidak memberi manfaat bahkan  ianya telah memberi persepsi negatif terhadap agama Islam yang sebenarnya menitikberatkan persaudaraan, keadilan, keharmonian, saling hormat-menghormati dan kesederhanaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Khalid lagi, kenyataan sebegitu hanya mencerminkan pemikiran tidak bertamadun dan perlu ditolak oleh semua rakyat Malaysia terutama masyarakat Islam.
Ujar Khalid lagi, Kerajaan Selangor menyeru semua pihak berhenti mengambil kesempatan atas isu Bible ini demi kepentingan diri atau politik dan menghormati titah DYMM Sultan Selangor agar kes ini diserahkan kepada mahkamah.
Sebelum ini Perkasa memberi amaran akan memancung kepala mana-mana pihak yang masih enggan menghormati kedaulatan Islam dan mengkhianati kedudukan Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri.
Yang Dipertua Perkasa Negeri Sembilan Ruslan Kassim berkata, orang Islam kini diuji oleh golongan anti-Islam yang sengaja menimbulkan polemik berhubung isu kalimah Allah dan rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM).
“Suara mereka suara Israel, mereka anti-Islam, minda mereka dicemari oleh musuh Islam. Jika kamu tidak tutup mulut kamu daripada terus memperkotak-katikkan Islam, kita akan tutup mulut kamu dan jika kamu mengkhianati Sultan, kita akan pancung kepala kamu.
“Biarkan kamu mati daripada terus menjadi parasit,” katanya semalam, semasa berucap dalam perhimpunan di depan perkarangan Istana Kayangan di Shah Alam.