Friday, June 6, 2014

Wanita Gerakan sokong Siew Keong sebagai menteri

  • Mah Siew KeongMah Siew Keong
 1 / 1 
IPOH - Wanita Gerakan menyokong penuh komitmen yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melantik presidennya Datuk Mah Siew Keong sebagai menteri, kata ketuanya Datuk Tan Lian Hoe.

Beliau berkata Wanita Gerakan menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada Perdana Menteri.

"Bukan hak saya atau parti untuk menentukan jawatan menteri yang akan ditawarkan kepada presiden parti (Mah). Wanita Gerakan berpandangan adalah prerogatif Perdana Menteri memutuskan tentang jawatan menteri untuk Datuk Mah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Tan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri bahawa Mah akan dilantik menganggotai kabinet sekiranya menang pada pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei.

Mah memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 238 undi apabila meraih 20,157 undi berbanding calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud, 27, yang mendapat 19,919 undi.

"Kita juga yakin apabila Datuk Mah memegang jawatan dalam kabinet, ia akan memberi faedah kepada penduduk Teluk Intan dalam menyelesaikan pelbagai masalah," kata Tan.

Kali terakhir Gerakan memegang jawatan dalam kabinet ialah menerusi bekas Presidennya, Tan Sri Koh Tsu Koon sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - Bernama