Friday, June 6, 2014

Banjir: UIA timbang tindakan undang-undang


KUALA LUMPUR:Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) akan mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan kampusnya dan mengambil sebarang tindakan undang-undang, jika perlu.

Presidennya, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata berdasarkan maklumat, UIA mendapati antara punca banjir kilat itu ialah projek pembangunan di hulu sungai yang berhampiran dengan universiti berkenaan.

"Justeru, kita hendak lihat apa tindakan pencegahan yang mereka sudah adakan. Jika tidak ada, kenapa tidak ada?" katanya selepas merasmikan Persidangan Bahasa Antarabangsa Ketiga di UIA Gombak semalam. 

Beliau diminta mengulas insiden banjir kilat yang melanda universiti itu kelmarin, setinggi kira-kira semeter berikutan hujan lebat pada sebelah petang, sehingga menenggelamkan lima kenderaan pelajar dan kakitangan.

Rais berkata tindakan sementara mesti dilaksana iaitu meminta kerajaan Selangor membantu UIA mengatasi masalah banjir kilat kerana kampusnya terletak dalam negeri itu.

Sementara itu, Rais dalam ucapan perasmian persidangan berkenaan menggesa Jabatan Bahasa Melayu UIA mengendali sesi pembelajaran menggunakan tulisan Jawi.

"Ini sebagai langkah bagi menyegarkan tulisan Jawi dalam pengajaran bahasa Melayu. Pada fikiran saya, inisiatif ini akan membantu merealisasi matlamat kita untuk membangkitkan semula kegemilangan bahasa Melayu dalam tulisan Jawi dan meletakkannya dalam perspektif yang betul.

"Biarlah bahasa Melayu dipelajari menggunakan tulisan Jawi oleh semua pelajar sama ada rakyat Malaysia atau antarabangsa, dalam usaha mempromosi bahasa Melayu ke seluruh dunia," katanya.

Persidangan tiga hari itu, yang bermula pada 4 Jun dan berakhir esok, membabitkan penceramah jemputan dari Arab Saudi dan New Zealand selain pembentang kertas kerja dari 28 negara. - Bernama