Thursday, June 5, 2014

Serbu Kuil Hindu, Mana Janji Kerajaan Negeri Selangor?

Sepatutnya hari ini diadakan protes aman di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam bagi membantah tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu dan membatalkan majlis perkahwinan 2 penganut agama Hindu di Petaling Jaya minggu sudah.

Perhimpunan yang diadakan oleh beberapa NGO seperti Hindraf, Suaram dan sebagainya itu terpaksa diadakan setelah kerajaan negeri dilihat harus memikul tanggungjawab berikutan operasi operasi JAIS perlu dimaklumkan kepada Exco terlebih dahulu.

Bagaimanapun, atas campur tangan pimpinan Pakatan Rakyat pusat yang bimbang keganasan mungkin tercetus, perhimpunan tersebut dibatalkan dan dipindahkan ke Bukit Aman.  Kebetulan, ada beberapa orang pemegang kad UNHCR dari Sri Lanka yang ditahan kerana dituduh membantu pertubuhan pengganas Tamil, LTTE.

Kejayaan pimpinan pusat Pakatan Rakyat menghalang himpunan di bangunan SUK Selangor itu, tidak seharusnya diambil mudah oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim selaku orang yang bertanggungjawab ke atas operasi JAIS.

Khalid wajib mengambil tindakan segera ke atas JAIS bagi meredakan keresahan hati penganut agama bukan Islam di negeri tersebut yang ditekan akibat beberapa tindakan tidak berpelembagaan yang dijalankan oleh JAIS. 

Menurut rekod, hanya tokong buddha saja yang belum JAIS serbu setakat ini, gereja dan kuil, sudah mereka ceroboh kononnya untuk melaksanakan tanggungjawab membenteras penyelewengan akidah yang dilakukan terhadap orang Islam.

Adakah Khalid mahu menunggu semua rumah ibadat di Selangor diserbu JAIS baru nak mengambil tindakan?  Jika itu yang Khalid nantikan, mungkin keadaan sudah terlambat kerana sudah pasti ada tindak balas dari mereka yang berkenaan.

Setakat memberi amaran, tidak akan memberi kesan kepada JAIS kerana semua orang tahu pentadbiran JAIS adalah terpisah dari kerajaan negeri Selangor berikutan kedudukan agensi itu yang berada dibawah kuasa Sultan Selangor.

Kerajaan negeri boleh membuat keputusan dengan memindahkan kuasa JAIS kepada sebuah agensi lain yang baru ditubuhkan bagi menangani masalah-masalah berkaitan akidah orang Islam di Selangor.

JAIS masih boleh dikekalkan tapi fungsinya terhad kepada perkara-perkara berkaitan nikah kahwin dan kematian, sementara penguatkuasaan akan dilakukan oleh agensi baru yang ditubuhkan itu.