Tuesday, June 10, 2014

Yakin penuhi 70 peratus janji PRK Teluk Intan

  • Mah Siew KeongMah Siew Keong
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Anggota Parlimen Teluk Intan Datuk Mah Siew Keong yakin dapat memenuhi 70 peratus janji dalam manifestonya semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan lalu, dalam tempoh tiga tahun.

Mah yang juga Presiden Gerakan berkata beliau telah berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan bentuk bantuan yang boleh disalurkan bagi membantu penduduk di kawasannya.

"Dalam manifesto pilihan raya kecil tersebut, kita telah membuat banyak janji dan komitmen kepada rakyat di kawasan ini dan saya yakin dan berharap dalam masa tiga tahun, kita mampu memenuhi segala komitmen yang dijanjikan," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, di sini hari ini.


Terdahulu, Mah mengangkat sumpah sebagai anggota parlimen baharu di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee pada Mesyuarat kedua penggal kedua Parlimen ke-13 yang bermula hari ini.

Pada PRK Teluk Intan 31 Mei lalu, Mah menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi. Mah memperoleh 20,157 undi berbanding Dyana Sofya 19,919 undi.

PRK itu diadakan selepas penyandang kerusi Parlimen tersebut, Seah Leong Peng, 48, meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pada 1 Mei lalu.

Mengenai jawatan dalam Kabinet, Mah berkata beliau masih belum menerima sebarang maklumat daripada Perdana Menteri berhubung perkara itu.

"Kita akan menunggu dan terpulang kepada keputusan Perdana Menteri. Buatmasa ini perbincangan lebih banyak ditumpukan untuk membantu masyarakat di Teluk Intan," katanya. - Bernama