Tuesday, June 10, 2014

Usul tergempar bahas kerugian MAS ditolak


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam menolak usul tergempar bagi membahaskan kerugian dialami oleh syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) pada tahun lepas.

Ketika memberikan alasan penolakan, Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohamed berkata usul itu tidak memenuhi keperluan bagi usul tergempar seperti termaktub dalam Peraturan Mesyuarat 18(1).

"Kerajaan sudah mengambil tindakan untuk mengenal pasti punca kerugian syarikat penerbangan itu dan jalan penyelesaian sudah diambil. Oleh kerana ia sedang disiasat, ia bukan perkara perlu disegerakan," katanya dipetik Bernama.

Usul yang dikemukakan oleh Lip Lim Eng (DAP-Segambut) pada 6 Jun lalu itu memohon Dewan Rakyat membahaskan kerugian RM1.2 bilion pada tahun lepas dan RM433.4 juta pada suku pertama 2014.

Beliau berkata Pengurusan MAS kelihatan lemah dan tidak lagi berdaya saing terutamanya selepas kehilangan MH370.

Beliau juga meminta diberikan penjelasan tentang kerugian itu dan bertanya jika kerajaan patut mengisytiharkan kebangkrapan untuk mengelakkan kerugian lebih besar yang akan membebankan pembayar cukai.

RM27.6 juta untuk operasi SAR

Dalam pada itu kerajaan semalam turut memaklumkan bahawa sehingga kini telah membelanjakan RM27.6 juta untuk minyak, makanan dan logistik dalam misi mencari dan menyelamat MH370.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussin berkata jumlah itu dibelanjakan untuk keperluan logistik tentera laut, polis, bomba, agensi maritim dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Negara-negara lain yang terlibat dalam misi tersebut membelanjakan wang mereka sendiri, tegasnya. - HARAKAHDAILY 10/6/2014