Saturday, July 12, 2014

Ahli akademik kesal orang Islam sertai Negara-Ku



Mereka tidak sedar bahawa konsep-konsep keadilan dan kebebasan yang diperjuangkan NGO ini tidak mengikut acuan Islam.



PETALING JAYA: Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS) UTM, Prof. Madya Dr Khalif Muammar A. Harris kesal dengan penglibatan orang Islam dalam NGO Negara-Ku.

Menurutnya, golongan sekular dan liberal serta orang bukan Islam memperjuangan konsep-konsep keadilan dan kebebasan mengikut pandangan Barat.

“Saya sedih apabila melihat ada orang Islam yang turut serta dalam perjuangan sekular dan liberal orang bukan Islam. Mereka fikir bahawa mereka memperjuangkan keadilan, kesetaraan dan kebebasan serta menyangka Islam (mengikut kefahaman mereka yang dangkal) membenarkan usaha mereka.

“Mereka tidak sedar bahawa konsep-konsep keadilan dan kebebasan yang mereka perjuangkan tidak mengikut acuan Islam tetapi mengikut pandangan alam (worldview) Barat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada penubuhan NGO baharu yang diberi nama Gerakan Rakyat Untuk Menebus Kembali Negara Malaysia (Negara-Ku) baru-baru ini.

Ujarnya lagi, para aktivis Muslim sepatutnya menguasai ‘worldview’ Islam. Jika tidak menguasainya, amat mudah untuk mereka terkeliru antara konsep melakukan kebaikan dan kerosakan.

Lebih 60 NGO terlibat dengan Negara-Ku termasuk Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).

Naib Presiden Ikram, Zaid Kamarudin merupakan Pengerusi Negara-Ku, manakala Ambiga dan A Samad Said berperanan selaku penaung NGO itu.

No comments: