Tuesday, July 8, 2014

Amaran 13 Mei: Jangan cetus api perkauman


WALAUPUN telah lama berlalu, peristiwa hitam yang berlaku pada 13 Mei 1969 masih menjadi modal bagi Umno-BN untuk menakut-nakutkan rakyat. Terbaharu, kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin yang mengingatkan rakyat tentang kebarangkalian berulangnya peristiwa hitam itu dilihat sebagai sesuatu yang kurang wajar.

Kenyataannya itu turut mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak. Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut menyatakan rasa kurang senangnya dengan kenyataan Muhyiddin itu.

Yang berikut pernyataan penuh beliau.

1. Kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin minggu lalu yang menyatakan bahawa tidak mustahil Peristiwa 13 Mei 1969 boleh berulang sangat menyinggung perasaan dan menggusarkan hati sebilangan besar rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

2. Sekalipun kenyataan itu mungkin bertujuan sebagai satu peringatan, ia tetap menimbulkan persoalan dan gambaran di sisi rakyat bahawa YAB TPM melihat sejarah tragedi hitam negara itu masih belum berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak kerajaan sehingga membuat andaian kemungkinan berulangnya peristiwa hitam itu pada masa akan datang.

3. Lebih membimbangkan jika kenyataan itu dikaitkan pula dengan kenyataan-kenyataan konsisten pemimpin-pemimpin utama negara termasuk Perdana Menteri sendiri yang turut mengeluarkan kenyataan berbaur rasis dan prejudis terhadap bangsa- bangsa lain khususnya pasca PRU13.

4. Pada masa yang lain pula, pihak radikal kaum tertentu terus dibiarkan subur dan lantang mengapi-apikan semangat perkauman menggunakan premis membela nasib kaum sendiri sehingga membelakangkan prinsip hormat-menghormati dan toleransi antara satu sama lain dalam kerangka demokrasi sehingga boleh menjejaskan keharmonian perpaduan antara kaum.

5. YAB TS Muhyiddin Yasin harus sedar bahawa peristiwa berdarah itu sangat pahit dan sensitif untuk diungkap semula, dan jika ia bertujuan sebagai penceritaan sejarah dan peringatan, maka ia mestilah dalam ajakan ke arah keharmonian, bukan berbaur apatah bermotif ugutan terhadap bangsa lain.

6. Islam konsisten menolak faham perkauman sempit dan sebarang usaha menjadikannya asas perjuangan adalah seperti menghidupkan kembali bangkai jahiliyah yang telah dikuburkan oleh baginda al-Rasul semenjak lebih seribu tahun lepas. Islam sebaliknya menyeru kepada perpaduan kaum dan rakyat dengan menjadikan nilai-nilai manusiawi yang tinggi dan mulia sebagai matlamat dan penyatu kepada keamanan sejagat.

7. Saya menuntut agar YAB TPM menjelaskan semula kenyataan beliau sebelum ini kepada rakyat Malaysia agar segala kebimbangan terlerai. Kerajaan juga harus memperbetulkan prinsip dan polisi kerajaan agar lebih mesra perpaduan kaum dan dapat mengukuhkannya.