Friday, July 4, 2014

Bukan sedekah yang cemar imej ibu kota, PAS jawab Ku Nan


KUALA LUMPUR: PAS menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turun sendiri melihat warga kota susah sebelum membuat kenyataan bersifat 'menghina' mereka.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS tidak bersetuju dengan kenyataan menghina Tengku Adnan yang menyalahkan usaha murni yang dilakukan oleh Soup Kitchen memberikan makanan kepada mereka yang susah dan tidak berumah di Kuala Lumpur sebagai faktor yang menjejaskan imej bandar raya Kuala Lumpur.

Menurut beliau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepatutnya berganding tangan dengan NGO-NGO yang terbabit dengan Soup Kitchen dan bukan menghalau mereka.

"PAS mencadangkan agar Tengku Adnan turun sendiri melihat warga kota yang susah. PAS sendiri ada memberi makanan percuma kepada rakyat jelata yang susah tanpa mengira latar belakang daripada Pejabat Agong PAS di Jalan Raja Laut secara berkala.

"Lebih elok jika Tengku Adnan mencadangkan agar dalam lingkungan 2 kilometer daripada pusat membeli-belah Lot 10 digazetkan sebagai kawasan bebas penjenayah, kongsi gelap, tandas kotor dan jalan berlubang. 

"Itu sebenarnya lebih membantu menaikkan imej bandaraya Kuala Lumpur daripada menghalang aktiviti kebajikan yang dilakukan oleh Soup Kitchen," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tengku Adnan kelmarin yang menyatakan akan mengenakan hukuman ke atas peminta dan pemberi sedekah semata-mata atas alasan perbuatan tersebut mencemarkan imej ibu negara dan bagi mengurangkan budaya mengemis.

Tegasnya, jika kebersihan menjadi satu masalah kepada Tengku Adnan, beliau sepatutnya mengarahkan DBKL untuk membantu membersihkan kawasan-kawasan yang digunakan oleh Soup Kitchen selepas habisnya aktiviti kebajikan mereka, sepertimana servis yang diberikan kepada kawasan-kawasan pasar dan pasar malam sekitar ibu kota.

Mungkin jika dengan kerjasama DBKL ujarnya, aktiviti-aktiviti Soup Kitchen juga boleh berubah menjadi satu kawasan tarikan pelancong yang menguntungkan warga KL.

"PAS akan mengerahkan Unit Amal untuk membantu Soup Kitchen sepanjang aktivitinya, termasuk aktiviti membersihkan kawasan yang digunakan Soup Kitchen untuk memastikan orang yang susah dapat terus diberi bantuan dari mereka yang sudi membantu.

"Kerajaan perlu peka bahawa terdapat banyak rakyat yang hidup susah di Kuala Lumpur. Betul, imej Kuala Lumpur perlu dijaga tapi bukan dengan menghalang aktiviti kebajikan, sebaliknya aktiviti jenayah," tegasnya. - HARAKAHDAILY 4/7/2014