Thursday, July 3, 2014

Khalid Bayar Bonus Untuk Selamatkan Punggungnya


Keputusan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim membayar sebulan gaji sebagai bonus kepada kakitangan awam kerajaan negeri dilihat satu keputusan untuk mengembalikan imejnya yang banyak calar dan dalam masa yang sama, menyelamatkan kariernya.

Menariknya, pembayaran bonus ini dibuat tidak lama selepas Khalid gagal mengekalkan jawatan sebagai Ketua Cabang Kuala Selangor seterusnya menjadikan dia sebagai satu-satunya ketua kerajaan negeri yang tidak mempunyai jawatan politik di peringkat akar umbi.

Persoalan seterusnya, kenapa keputusan ini dibuat sekarang kerana mengikut amalan yang lepas-lepas, kerajaan negeri hanya membayar bantuan khas hari raya sahaja, bukan bonus sebulan gaji!!
Sebetulnya tidak ada keperluan untuk membayar bonus pun pada waktu ini kerana perkara itu tidak pernah disebut dalam belanjawan kerajaan negeri tahun sudah. Persoalannya sekarang, dari mana peruntukkan untuk membayar bonus ini diperolehi?

Adakah dengan mengabaikan dana yang sepatutnya digunakan untuk memperbaiki infrastruktur rakyat yang semakin teruk di Selangor?  

Mungkin pada firasat orang-orang Khalid, tidak mengapalah kalau rakyat Selangor terpaksa menggunakan jalan yang berlubang dan berombak asal saja Khalid boleh merasuah kakitangan kerajaan negeri untuk menyelamatkan jawatannya sebagai Menteri Besar?

Dalam masa yang sama turut menyusahkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lain seperti Penang dan Kelantan yang mungkin tidak mempunyai dana untuk membayar bonus kepada kakitangan awam masing-masing.

Nanti tak ikut dikatakan tidak ada semangat berkomponen, kalau ikut, dimana nak dicapainya duit?

Justeru, ramai penyokong Pakatan Rakyat tidak gemar dengan keputusan terburu-buru yang diambil oleh Khalid dengan membayar bonus kepada kakitangan awam negeri bila mana Selangor mempunyai banyak masalah berkaitan rakyat yang tidak selesai lagi.

Mereka mendesak Pakatan Rakyat supaya campur tangan seperti mana dalam isu kenaikan gaji berkali ganda anggota pentadbiran kerajaan negeri yang dibuat pada waktu rakyat sedang dihimpit dengan kenaikan kos kehidupan.

Kita yakin keputusan ini dibuat tanpa terlebih dahulu merujuk kepada Pakatan Rakyat sebab sudah pasti Pakatan Rakyat tidak akan bersetuju dengan keputusan yang tidak munasabah ini.