Monday, July 7, 2014

Khalid Letak Jawatan, Menghadap Sultan Pagi Ini?


Desas desus semakin bertiup kencang di Shah Alam bahawa Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim akan meletakkan jawatan setelah PAS Selangor yang bermesyuarat Sabtu dan Ahad lepas berhubung kedudukan beliau, memutuskan untuk tidak menyokong kepimpinan Khalid sebagai Menteri Besar.

15 ADUN PAS di Selangor dikatakan telah menandatangani surat hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Khalid yang kemudiannya akan dijadikan usul undi tidak percaya dalam persidangan tergempar DUN yang akan diadakan pada bila-bila masa - kalau Khalid tidak meletakkan jawatan secara sukarela.

Akur dengan tekanan tersebut, Khalid telah dijadualkan untuk menghadap Sultan Selangor pagi ini bagi membincangkan perkara itu dan seterusnya mengemukakan surat perletakan jawatan sebagai Menteri Besar.

Jika mendapat perkenan, majlis perlantikan Menteri Besar yang baru dan proses serah menyerah tugas akan dilakukan dalam jangka masa terdekat.

Menurut sumber, setakat ini 3 nama telah disenarai pendek untuk jawatan Menteri Besar Selangor yang baru iaitu ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali (PKR), ADUN Kajang, Datin Seri Wan Azizah Ismail (PKR) dan ADUN Cempaka, Iskandar Samad (PAS).

Seorang lagi dalam senarai menunggu ialah ADUN Sijangkang, Dr. Hairie Yunus (PAS).

Besar kemungkinan Iskandar tidak akan mendapat tempat kerana DAP dan PKR Selangor telah sebulat suara mahu kerusi Menteri Besar negeri tersebut dipegang oleh wakil dari PKR.  Lagipun seorang Menteri Besar Selangor dari PAS dijangka tidak akan mampu memberi keadilan kepada semua kaum di negeri tersebut.

Terutama dalam isu rampasan Bible yang kemudian enggan dipulangkan oleh MAIS dan JAIS yang kini seumpama 'kerajaan dalam kerajaan' di Selangor.

Seterusnya meninggalkan dua lagi calon paling berpotensi, Azmin dan Wan Azizah dimana Azmin mempunyai peluang yang lebih cerah berikutan faktor umur dan pengalaman dalam pentadbiran kerajaan semasa menjadi Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri dulu.

Cuma yang tidak sihatnya, ada ura-ura yang mengatakan bahawa Khalid dan sekurang-kurangnya 2 ADUN PKR akan keluar parti untuk menyertai UMNO sebagai tanda protes di atas usaha-usaha yang dijalankan untuk menyingkirkan beliau. 

Jika ini menjadi kenyataan, BN di DUN Selangor akan mempunyai jumlah kerusi yang sama dengan PAS dan DAP iaitu sebanyak 15 kerusi, sementara PKR akan berkurang menjadi 11 kerusi DUN sahaja.