Wednesday, July 16, 2014

KJ desak kenakan bayaran masuk untuk warga Singapura

Singapore_malaysia_Flag_400KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya mengenakan bayaran kepada kenderaan dari Singapura yang masuk ke Malaysia.
Menurutnya, perkara ini harus dilakukan memandangkan Singapura sendiri telah menaikkan kadar bayaran masuk ke negara mereka.
“Sebelum ini Singapura telah mengenakan bayaran sebanyak SD$20 dan kini mereka telah menaikkannya kepada SD$35.

“Kita tidak perlu meminta pendapat daripada Singapura dalam hal mengenakan bayaran masuk kerana mereka sendiri tidak pernah meminta pendapat dari kita berkenaan kenaikkan bayaran masuk ke negara mereka,” katanya selepas mesyuarat Exco Pemuda Umno Malaysia di Menara Datuk Onn.
Jelas Ahli Parlimen Rembau itu lagi, layanan yang diberikan oleh Singapura kepada negara kita tidak seimbang.
” Selama ini mereka masuk ke negara kita tanpa dikenakan apa-apa bayaran bahkan mereka juga tidak pernah membayar saman yang dikenakan terhadap mereka.
“Mereka turut menggunakan Lebuhraya Persekutuan dan lebuhraya-lebuhraya lain di negara kita. Siapa yang nak menyelenggarakan jalan yang mereka guna.
“Tetapi, kita pula tidak dibenarkan masuk ke negara Singapura jika tidak menjelaskan saman yang dikenakan di negara mereka,” ujarnya.
Jelas Khairy lagi, tidak timbul soal kemerosotan pelancong dari Singapura ke Malaysia kerana sudah pasti rakyat Singapura akan masuk ke negara kita.
“Mana lagi rakyat Singapura nak pergi. Mereka pasti akan masuk negara kita. Di sinilah tempat mereka membeli-belah, melancong, dan membeli durian.
“Saya juga akan bangkitkan perkara ini di dalam kabinet kerana sudah tiba masanya kita bertindak. Jika tidak kita akan terus mengalami kerugian,” katanya.
Dalam pada masa yang sama, Khairy turut menyatakan bahawa Pemuda Umno Malaysia akan turut serta dalam misi kemanusian ke Gaza.
“Kita akan sediakan bantuan kemanusiaan yang terdiri daripada bantuan perubatan.
“Bahkan kita juga akan mengajak sukarelawan Aman Malaysia dan juga pemimpin-pemimpin mahasiswa,” ujarnya.
Khairy turut menjelaskan bahawa Malaysia sangat komited dalam isu-isu kemanusiaan yang menimpa rakyat Palestin.
“Kita terlibat dalam misi kemanusian ini sudah lama, bahkan kita juga telah menghantar pelbagai bantuan ke Gaza seperti bantuan perubatan, makanan, dan juga bantuan kewangan.

No comments: