Wednesday, July 16, 2014

Nur Misuari terlibat ceroboh, culik di Sabah – Zahid Hamidi


KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari terlibat dengan menggunakan kumpulan sendiri beberapa kumpulan lain dalam melakukan pencerobohan dan penculikan di Sabah 

Beliau berkata kegiatan itu dilakukan dengan tujuan mengumpul dana bagi membentuk semula tentera upahan Nur Misuari selain bagi mengembalikan semula pengaruhnya di selatan Filipina, lapor Bernama.

Katanya umum mengetahui bahawa Nur Misuari tidak mendapat sokongan dan tidak dibabitkan dalam Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) yang ditandatangani kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi membuka jalan ke arah penyelesaian politik di Mindanao pada Mac lepas.

"Kita tidak mempunyai apa-apa hubungan secara langsung dengan Nur Misuari, tapi kita yakin beliau mempunyai matlamat lebih besar. 

“Beliau bersekongkol dengan individu yang disebut berada dalam Kesultanan Sulu yang berhasrat untuk mengambil alih Sabah," katanya pada pada sidang media di majlis berbuka puasa bersama warga Kementerian Dalam Negeri di Masjid Al-Mujahiddin di Kuching.

Zahid menyatakan demikian sebagai mengulas insiden serang hendap di Pulau Mabul, Sabah pada Sabtu lepas yang menyaksikan seorang anggota polis terbunuh dan seorang lagi diculik.
    
Sebuah akhbar tempatan, kelmarin melaporkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor mendakwa pembabitan Nur Misuari dalam insiden itu setelah tidak berpuas hati kerana dipinggirkan daripada proses rundingan damai dengan kerajaan Filipina sehingga membawa kepada pembentukan wilayah autonomi Bangsamoro.

Abdul Rahim dilaporkan berkata kumpulan berkenaan kecewa kerana kerajaan Malaysia tidak lagi memberi sokongan kepada mereka malah sebaliknya mengambil pendirian menyebelahi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Menurut Zahid, Nur Misuari dilihat amat yakin bahawa Sabah boleh diambil alih oleh individu yang mengaku daripada Kesultanan Sulu dan dia (Nur Misuari) mahu terlibat sama.

"Di sini, saya ingin beritahu bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia. Kita tidak akan benarkan walau satu inci pun tanah Sabah diceroboh oleh mana-mana penduduk luar," katanya.

No comments: