Monday, July 7, 2014

Konvoi Berkebajikan santuni fakir miskin


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Batu mengambil inisiatif menyantuni golongan fakir dan miskin dengan mengadakan Program Konvoi Berkebajikan sempena bulan Ramadan yang mulia ini.

Dengan tema 'Pemuda Bersamamu', konvoi 15 buah motosikal serta tiga buah pacuan empat roda ini Sabtu lalu telah menyelusuri laluan di dalam kawasan parlimen Batu mencari golongan yang kurang berkemampuan bagi menghulurkan sumbangan.

Sepanjang konvoi ini, seramai 15 orang warga Parlimen Batu yang fakir dan miskin, serta orang kelainan upaya (OKU) dari Kampung Padang Balang dan Kampung Batu Muda menerima sumbangan berupa barang-barang keperluan dapur dan wang tunai. 

Pasukan konvoi juga turut menziarahi mangsa yang rumah mereka di robohkan di Kampung Chubadak Tambahan.

Konvoi ini diketuai Nurul Islam Mohamed Yusoff selaku ketua Dewan Pemuda PAS Batu.

“Walaupun sumbangan yang kami sampaikan tidaklah seberapa, namun keberkatan menyumbang di bulan Ramadan ini mudah-mudahan dapat meringankan beban mereka untuk meneruskan hidup," katnya.

Mengulas isu perobohan perumahan penduduk di Kampung Chubadak Tambahan, beliau berkata Pemuda PAS akan bersama penduduk dan akan membela mereka melalui apa juga saluran termasuk perundangan.

Konvoi ini berakhir dengan program “Down to Earth” bersama Ahli Parlimen Batu Tian Chua di Bazar Ramadan Taman Dato' Senu. -HARAKAHDAILY 7/7/2014