Monday, July 7, 2014

Perkasa nasihat Najib bincang dengan tokoh berpengalaman

ibrahim_Ali_new
PETALING JAYA: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengadakan perbincangan dengan pemimpin negara yang berpengalaman sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Akta Keharmonian Nasional dibentangkan di Parlimen.

Menurutnya, Perkasa mencadangkan PM sendiri mengadakan perbincangan dengan pemimpin negara yang berpengalaman seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas ketua hakim negara seperti Tun Abdul Hamid Mohamd, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Zaki Azmi.

“Selain itu pandangan daripada Bekas Ketua Polis Negara seperti Tan Seri Rahim Nor, bekas ketua cawangan khas yang berwibawa, bekas panglima angkatan tentera dan ketua perisikan tentera juga perlu dipertimbangkan oleh PM.
“Pandangan mereka amat berguna dan sesiapa yang menafikannya adalah orang buta dan pekak,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambah beliau, Perkasa menyambut baik jaminan bahawa kerajaan tidak akan terburu-buru menggubal undang-undang baru yang boleh menggugat keharmonian dan keselamatan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dalam kenyataannya sebelum ini berkata RUU Keharmonian Nasional belum lagi muktamad kerana masih melalui proses konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan di negara ini.
Nancy berkata, kerajaan tidak akan melakukan sesuatu secara tergesa-gesa mahupun menggubal sesuatu undang-undang yang boleh menggugat keharmonian negara ini.
Jelas Ibrahim lagi, Biro Perpaduan Negara (BPN) dalam proses menyediakan memorandum Perpaduan Nasional yang diusahakan oleh 55 NGO Melayu Islam bumiputera serta penglibatan individu-individu berwibawa seperti tokoh-tokoh akademik, perundangan, profesional dan politik
“BPN yang dipengerusikan oleh Tun Hamid akan menyediakan draf awalnya pada awal Ogos dan Konvensyen Perpaduan Nasional akan diadakan pada pertengahan September 2014.
“Ia bertajuk ‘Memorandum Perpaduan Nasional Tun Hamid Mohamad’. BPN tidak akan terburu-buru dan adalah wajar bagi kerajaan untuk menunggu semua pihak memberi pendapat dan cadangan,” ujarnya.