Wednesday, July 2, 2014

'Kritik bukan niat singkir'

  • Laporan Sinar Harian, Sabtu lalu.Laporan Sinar Harian, Sabtu lalu.
 1 / 1 
SUBANG JAYA – Kritikan berkenaan isu air yang dibangkitkan beberapa pemimpin DAP sebelum ini tiada kaitan dengan niat menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Speaker Dun yang juga Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, meskipun kritikan itu seolah-olah menyalahkan Abdul Khalid kerana gagal menyelesaikan isu air di Selangor namun ia tiada kaitan dengan menolak pemimpin nombor satu negeri itu.

Katanya, setiap wakil rakyat mempunyai kebebasan bersuara apatah lagi jika ia membabitkan hal dan isu rakyat.
"Wakil rakyat menerima tekanan daripada masyarakat kerana ketiadaan bekalan air membuatkan mereka rasa tidak selesa dan kehidupan seharian terganggu.

“Pemimpin yang meluahkan rasa tak puas hati itu memang menyokong dasar kerajaan negeri tapi bila masuk isu air mereka rasakan ia serius dan kerajaan negeri tak boleh lakukan kesilapan.

“Saya tak mahu komen panjang tapi saya rasa ia tiada kena mengena usaha untuk menjatuhkan menteri besar seperti didakwa segelintir pihak,” katanya.

Hannah turut menjelaskan isu air bukan isu baru malah ramai menyuarakan pendapat masing-masing termasuk dalam Sidang Dun.

"Memang menteri besar sebelum ini ada memberi jaminan bahawa air mentah mencukupi namun persoalan timbul apabila Syabas menyebut gangguan berlaku kerana kekurangan bekalan air terawat," katanya.

Justeru, beliau meminta Syabas bertindak dan memastikan tiada sebarang kes sabotaj berlaku.

Beliau turut  menyifatkan rakyat Selangor semakin matang berhubung isu air dan tidak lagi sesuai dipolitikkan.

“Lima, enam tahun isu air dimainkan pihak tertentu namun ia tidak berjaya dipergunakan sebagai isu politik,” tegasnya.