Tuesday, July 8, 2014

Menteri dakwa kementerian tidak terlibat singkir Dr Redzuan


KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh (gambar) menafikan kementeriannya campur tangan dalam penyingkiran dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), Prof Datuk Dr Mohammed Redzuan Othman.
    
Idris berkata beliau percaya terdapat 'pihak luar' yang sengaja memperbesar perkara itu dan menjadikannya isu supaya rakyat menentang kerajaan.
    
"Saya percaya adanya 'pihak luar', parti pembangkang yang cuba menghasut pihak tertentu agar menentang kerajaan apabila memperbesar isu ini.
    
"Bagi saya tiada apa yang luar biasa kerana dekan berkenaan hampir tamat tempoh perkhidmatan dan seperti biasa dekan lain akan dilantik menggantikan tempat dia," katanya kepada pemberita di majlis Iftar Universiti Malaya (UM) dan Universiti Antarabangsa Malaya-Wales (IUMW) di sini hari ini.
    
Turut hadir Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin.

Idris turut mempersoalkan mengapa tiada pihak mempertikaikan tindakan kerajaan Selangor yang menyingkirkan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) beberapa tahun lalu.
    
"Mereka (kerajaan negeri) pecat seorang VC (naib canselor), tapi kenapa tiada siapa-siapa nak kecoh, tapi bila dean (dekan) yang hampir tamat perkhidmatan tidak dilanjutkan jawatan, kenapa semua blog, media nak tulis?" katanya.
    
Idris juga menekankan bahawa amalan pengundian ini adalah satu proses biasa untuk memilih dekan bagi penggal akan datang selepas tempoh perkhidmatan mereka tamat.
    
Isnin lalu berita penyingkiran Redzuan mendapat perhatian beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang membidas kementerian yang didakwa campur tangan dalam urusan pentadbiran universiti tersebut.
    
Sementara itu, Mohd Amin berkata pihak UM menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa terhadap seorang pensyarahnya yang disyaki terbabit dengan aktiviti militan.
    
Beliau berkata pensyarah terbabit Dr Mahmud Ahmad telah empat minggu tidak datang menjalankan tugasnya.
    
"Jika menurut peraturan biasa kita akan mengambil tindakan terhadap ketidakhadiran tersebut bergantung pada alasan serta bukti sokongan seperti sijil cuti sakit dan sebagainya, namun bagi dakwaan terlibat kegiatan militan kita serahkan sepenuhnya siasatan pada pihak berkuasa," katanya.
    
Rabu lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Dr Mahmud yang merupakan pensyarah Fakulti Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya merupakan seorang daripada lima suspek yang diburu polis kerana disyaki terlibat dengan kegiatan militan.
    
Dr Mahmud bersama empat suspek yang lain dikatakan telah meninggalkan Malaysia dan kini bersembunyi di selatan Filipina. - Bernama