Thursday, July 24, 2014

MH17: PAS gesa buat sambutan negara terhadap jenazah


KUALA LUMPUR: PAS mencadangkan kepada pihak kerajaan Malaysia untuk membuat sambutan negara terhadap jenazah rakyat Malaysia yang terlibat dengan insiden pesawat malang MH17 yang akan tiba ke negara ini.

Ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, sambutan rasmi negara itu bagi menzahirkan rasa penghormatan negara terhadap mangsa yang terlibat.

"Kita perlu menyambut mereka sebagai wira negara kita, kerana pemergian mereka satu kehilangan besar bagi negara dan kita semua.

"Mereka telah dibunuh secara kejam yang sama sekali tidak boleh diterima oleh kita semua.

"Sambutan ini juga sebagai tanda kita mengutuk serangan tidak bertamadun ke atas pesawat awam tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Semalam kumpulan pertama mayat nahas MH17 tiba di Belanda dengan sambutan istiadat dan deretan orang ramai.

Tentera Belanda yang beruniform lengkap menerima 40 keranda kayu berisi mayat mangsa yang ditempatkan satu persatu di lapangan terbang Eindhoven di selatan negara itu dalam majlis penuh istiadat sebagai penghormatan terakhir dengan orang ramai berbaris di kiri dan kanan jalan.

Malaysia semalam turut mengadakan sidang parlimen khas dan membawa usul mengutuk serangan ke atas pesawat tersebut.

Malaysia juga menuntut keadilan ke atas insiden itu dengan pihak bertanggung jawab diheret ke muka pengadilan.

Kerajaan juga dalam usaha membawa pulang jenazah rakyat Malaysia untuk dikebumi di sini sebelum Aidilfitri. - HARAKAHDAILY 24/7/2014

No comments: