Thursday, July 24, 2014

Rumah Terbuka Aidilfitri biarlah sederhana

M Ravi 2013
SEREMBAN: Seorang pemimpin PKR hari ini mengesyorkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua menteri agar tidak menganjurkan ‘Rumah Terbuka Aidilfitri’ dalam skala besar seperti tahun-tahun sebelumnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Port Dickson, M Ravi, berkata ini adalah langkah yang tepat berikutan kejadian yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH17 yang mengorbankan 298 nyawa termasuk 43 orang rakyat Malaysia.
Nasihat Ravi bukan sahaja ditujukan kepada kepimpinan Barisan Nasional beragama Islam, malah turut ditujukan kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

“Daripada 43 rakyat Malaysia yang terkorban, 21 mangsa atau hampir separuh adalah beragama Islam.
“Saya percaya sambutan Aidilfitri oleh 21 keluarga mangsa itu pada minggu depan pasti suram dan tidak akan semeriah seperti sebelum-sebelumnya.
“Keluarga mangsa sudah tentu masih bersedih dengan insiden ini. Apatah lagi pakar forensik dan pakar penyiasat masih bertungkus lumus untuk mengenal pasti identiti mangsa yang telah terkorban.
“Satu proses yang bukan mudah apabila mengambil kira cara mereka terbunuh (letupan).
“Justeru itu adalah sangat wajar sebagai menghormati perasaan ahli keluarga mangsa terutama yang beragama Islam, kepimpinan utama negara seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri kabinet, menteri besar dan kepimpinan Pakatan Rakyat menyambut Aidilfitri (Rumah Terbuka) pada tahun ini dengan skala sederhana.
“Saya tidak kata jangan buat sambutan ‘Rumah Terbuka Aidilfitri’ langsung.
“Mengadakan ‘Rumah Terbuka Aidilfitri’ untuk sanak saudara dan sahabat handai tidak mengapa, kerana ianya hanya dalam skala kecil atau sederhana dan dengan tujuan untuk bersilahturahim.
“Apa yang saya minta, eloklah dielakkan membuat’ Rumah Terbuka Aidilfitri’ secara besar-besaran yang biasanya menelan belanja ratusan ribu ringgit,” kata Ravi.
Ravi mencadangkan duit atau kos bagi sambutan ‘Rumah Terbuka Aidilfitri’ secara besar-besaran itu disedekahkan kepada keluarga mangsa MH17.
“Ada yang kehilangan bapa dan ibu. Ada yang kehilangan suami dan isteri. Sekurang-kurangnya sumbangan itu dapat membantu anak-anak dan isteri mangsa MH17 dari Malaysia,” ujar Ravi.

No comments: