Friday, July 11, 2014

PAS nafi boikot mesyuarat BBC

Saari_Sungib_300x200
PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh New Straits Times (NST) yang mendakwa ADUN PAS Selangor memboikot untuk hadir ke Mesyuarat Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor dua hari lalu.

Menurutnya, beliau langsung tidak tahu menahu tentang perkara itu dan sekiranya benar PAS memboikot mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor, Azmin Ali, beliau juga akan turut serta.

“Saya tidak tahu langsung tentang dakwaan yang menyatakan bahawa PAS memboikot mesyuarat bagi membincangkan mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor dan mengemukakan usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
“Sekiranya benar PAS boikot, saya juga akan turut serta untuk memboikot,” katanya sewaktu dihubungi oleh FMT.
Ujarnya lagi, ketika mesyuarat tersebut, ianya lebih banyak membincangkan masalah-masalah yang berlaku di dalam negeri dan langkah-langkah bagi memperbaiki mutu pentadbiran negeri.
Walaubagaimanapun, Saari tidak menafikan bahawa memang benar cuma beliau dan ADUN Lembah Jaya,  Khasim Abdul Aziz sahaja yang hadir ke mesyuarat tersebut bagi mewakili PAS.
“Saya tidak tahu mengapa ADUN yang lain tidak hadir, mungkin kerana mereka mempunyai mesyuarat di tempat lain. Bahkan, saya sendiri hadir lewat ke mesyuarat tersebut kerana menghadiri mesyuarat lain,” ujarnya.
Semalam NST mendakwa bahawa ADUN PAS telah memboikot mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor, Azmin Ali.
Mesyuarat tersebut tidak mendapat sambutan oleh ADUN PAS yang lain, dan ia hanya dihadiri oleh ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan ADUN Lembah Jaya.
Ekoran daripada sambutan dingin ADUN PAS yang lain, agenda mesyuarat yang pada awalnya adalah untuk membincangkan mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor dan mengemukakan usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang terpaksa ditukar ke agenda lain.

No comments: