Friday, July 11, 2014

Pas pecat ahli terlibat kumpulan radikal

  • Hadi AwangHadi Awang
 1 / 1 
MARANG – Pas tidak mengizinkan ahlinya terlibat kumpulan radikal, sama ada dalam mahu pun di luar negara.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas meneliti penuh berhati-hati perkembangan terkini yang di Iraq dan Syria serta meminta ahli, penyokong dan seluruh rakyat memahami percaturan yang sedang berlaku.

Menurutnya, Pas juga menegaskan akan tetap mengambil pendekatan demokrasi menerusi pilihan raya dan itulah pendekatan diperkenalkan parti itu kepada semua rakan dalam gerakan Islam di seluruh dunia.


“Ini jugalah yang saya tekankan dalam ucapan kepada kepimpinan parti berteraskan Islam di negara lain dalam persidangan anjuran Pusat Kajian Ekonomi dan Sosial di Turki, bulan lalu.

“Pendekatan ini adalah yang terbaik pada masa ini bagi menghadapi masalah dalaman negeri umat Islam sendiri dengan menekankan prosesnya secara damai dan demokrasi,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Oleh itu, Abdul Hadi berkata, Pas tidak bersetuju dengan pendekatan yang berlaku di Syria dan Iraq yang mengambil cara perang untuk menyelesaikan masalah dalaman negara umat Islam.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Marang berkata, cara itu bercanggah dengan konsep jihad dalam al-Quran dan sunnah diamalkan khalifah di sepanjang zaman.

“Bagi Khulafa ar-Rasyidin, zaman Amawiyah, zaman Abbasiyah dan zaman Uthmaniyyah, mereka semua menyelesaikan masalah dalaman umat dan pendekatan perang adalah terakhir serta sangat berhemah.

“Saidina Ali Abi Talib RA hanya bertindak mengangkat senjata kepada golongan Khawarij.

"Begitulah kaedah kita menghadapi kerajaan yang zalim sepanjang zaman dalam krisis dalaman umat Islam,” katanya.

Abdul Hadi berkata, kerajaan Uthmaniyyah sendiri semasa pemerintahan mereka meletakkan kumpulan Druze yang dianggap kumpulan serpihan umat di luar daripada Islam ke satu kawasan di Lubnan, dan kumpulan Yazidiyah diletakkan di Iraq tanpa pendekatan bersenjata.

No comments: