Tuesday, July 8, 2014

Selangor Perlu Lebih Banyak Kelab Lumba Kuda Demi Ekonomi


Pembinaan kelab lumba kuda di Bukit Tagar yang mendapat kelulusan kerajaan negeri Selangor baru-baru ini adalah manifestasi kepada keinginan kerajaan Pakatan Rakyat melihat pembangunan pesat di kawasan itu dan kawasan sekitarnya.

Bukit Tagar dipilih kerana lokasinya yang jauh dari kesibukan kota seterusnya memberi kemudahan kepada peminat sukan tersebut yang ingin berjudi datang dengan selesa.  Selangor Turf Club di The Mines, Seri Kembangan juga sudah tidak lagi mampu menampung permintaan yang tinggi dari para penjudi.

Maka itu ada keperluan untuk mewujudkan kelab lumba kuda yang baru.

Seperti yang diketahui umum, aktiviti perjudian dari kelab lumba kuda ini memberi pulangan yang begitu besar kepada pendapatan kerajaan negeri.  Selangor sekarang mempunyai sebuah sahaja kelab lumba kuda selain satu di Perak dan Penang.

Jumlah itu tidak cukup sedangkan negeri ini mempunyai banyak tanah-tanah terbiar yang boleh dibangunkan untuk projek seumpamanya.

Kelab lumba kuda yang bakal dibina di Bukit Tagar ini adalah yang pertama dari sekurang-kurangnya 3 yang dirancang oleh kerajaan negeri, seterusnya menjadikan Selangor sebagai hub sukan lumba kuda negara, Asia dan dunia memandangkan keluasan padang lumba kuda kelab ini adalah yang terbesar di Asia.

Rakyat Selangor harus berbangga dengan kejayaan ini.  Bukan semua negara mampu memiliki kelab lumba kuda terbesar di Asia, tapi Selangor mengatasi kemampuan kerajaan Malaysia dengan kewujudan kelab lumba kuda ini nanti.

Selain menjana pendapatan hasil dari perjudian, rakyat di kawasan Kuala Selangor dan sekitarnya juga dapat manfaat tambahan setelah kelab lumba kuda ini siap dibina nanti.

Peluang pekerjaan, perniagaan dan sebagainya yang datang dari pembukaan kelab ini nanti, dianggarkan bakal membuka peluang ekonomi mencecah RM 4 billion setahun kepada penduduk setempat.

Inilah masanya juga penduduk Kuala Selangor berpeluang meningkatkan taraf kehidupan mereka terutama dari segi penyediaan penginapan (homestay) atau lebih maju lagi - membukan hotel yang lebih besar.

Justeru, semua bantahan penduduk berhubung pembinaan kelab lumba kuda di Bukit Tagar ini adalah sesuatu yang tida berasas dan sengaja dibuat untuk menghalang penduduk Kuala Selangor dari menikmati perubahan dan limpahan ekonomi.


PAS sendiri pun tidak ada masalah dengan pembinaan kelab lumba kuda ini kerana dalam Exco Selangor, ada 3 orang wakil dari PAS dan mereka semua bersetuju dengan pembinaan tersebut.  Prinsip kerajaan negeri Selangor jelas, kepentingan ekonomi mesti mengatasi semua kepentingan yang lain (termasuk agama).

Dengan itu menjadikan dakwaan yang mengatakan parti itu membantah pembinaan kelab lumba kuda di Bukit Tagar ini sebagai satu sandiwara semata-mata.