Saturday, August 9, 2014

Bayar royalti kepada negeri pengeluar minyak

  • Upko
 1 / 1 
KOTA KINABALU - Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) menggesa kerajaan persekutuan, yang menerima bayaran royalti minyak sebanyak lima peratus daripada Petronas, menyalurkan bayaran itu kepada negeri pengeluar minyak.

"Sebagai negeri pengeluar minyak, Sabah amat perlu diberi lebih daripada lima peratus yang diterimanya sekarang.

"Saya ingin mengulangi resolusi yang dicapai pada kongres parti kami sejak beberapa tahun lepas bahawa penyelesaian paling praktikal ialah Putrajaya memberi bahagiannya kepada Sabah.


"Ini sesuatu yang boleh dilakukan," kata pemangku presiden Upko Datuk Madius Tangau dalam kenyataan di sini hari ini.

"Upko berpendapat tidak ada masalah bagi kerajaan persekutuan menyerahkan lima peratus itu kepada kerajaan negeri, terutama Sabah dan Sarawak. Sepatutnya, Petronas memberi kami 20 peratus," katanya.

Beliau berkata, pilihan lebih baik ialah Petronas memperuntukkan ekuiti sewajarnya kepada kerajaan negeri dalam mana-mana anak syarikatnya.

"Satu perkara lagi yang amat diharapkan rakyat Sabah adalah meningkatkan penyertaan mereka secara berganda dalam perniagaan minyak dan gas serta pekerjaan berkaitannya," kata beliau.

Tangau, yang juga Anggota Parlimen Tuaran bagaimanapun berkata parti itu menyedari kedayahidupan ekonomi dan kewangan amat penting bagi Petronas.

Jumlah royalti minyak, yang dibayar Petronas kepada kerajaan ialah 10 peratus, iaitu lima peratus kepada kerajaan persekutuan dan lima peratus kepadakerajaan negeri pengeluar minyak. - Bernama

No comments: