Sunday, August 3, 2014

Israel sasar Malaysia agenda perangi musuhnya



KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan bahawa media Israel secara sengaja mahu mengheret keganasan yang dilancar ke atas Gaza dengan menuduh pejuang Hamas dilatih di Malaysia.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kenyataan penafian pihak Hamas atas tuduhan ini menunjukkan Hamas bersikap bertanggungjawab supaya Malaysia tidak terperangkap dengan propaganda Israel.

“Sesungguhnya strategi kelompok Zionis Yahudi yang menguasai politik dan ketenteraan Israel adalah untuk melabelkan mana-mana negara yang menentang Israel sebagai musuhnya yang perlu dikambinghitamkan,” ujarnya dalam satu kenyataan. 

Katanya, dengan itu ia mudah mempengaruhi pendukung kuatnya Amerika Syarikat untuk mengisytiharkan permusuhan ke atas mana-mana negara yang ia mahu.

Tambahnya, adalah sangat jelas badan perisik Israel iaitu Mosad dan CIA sebagai badan perisik Amerika Syarikat sering bekerjasama untuk memporakperandakan dunia dengan konspirasi besar mereka menguasai dunia seluruhnya.

“Kedua badan perisik ini boleh melakukan konspirasi yang paling ekstrem untuk mencapai matlamat mereka  termasuk propaganda media, malah operasi menculik, menyiksa, membunuh dan berperang,” ujarnya lagi.

Oleh kerana itu, kata beliau menghasilkan cerita dan fakta palsu sudah menjadi kepakaran mereka agar cita-cita mereka menundukkan semua negara tercapai.

Menurutnya, untuk menutup segala konspirasi dan kini operasi  keganasan mereka yang sangat tidak bertamadun keatas Gaza dan rakyat Palestin keseluruhannya, Israel dengan sewenang-wenangnya mencari pihak luar yang boleh dijadikan sasarannya. 

Beliau berkata, walaupun Israel boleh mengadakan hubungan perdagangan dan kerjasama teknologi dengan mana-mana negara, namun apabila kepentingannya terancam Israel siap mengguna jaringan dan pengaruhnya ke atas Amerika Syarikat untuk menekan negara yang ia ada hubungan selama ini.

“Ini telah lama menjadi modus operandi Zionis Israel. Israel boleh dan mudah melancarkan agendanya kerana Amerika Syarikat menjadi penyokongnya yang kuat,” katanya lagi. 

Tambahnya, sudah diketahui umum betapa Amerika Syarikat akan mempertahankan Israel walaupun Israel menjadi negara pengganas nombor satu dunia.

Menurut beliau lagi, Israel sangat tidak senang dengan Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin kerana rakyat negara ini dari awal pencerobohan Zionis Yahudi ke atas bumi Palestin lagi telah ditentang keras oleh masyarakat sivil Malaysia secara konsisten. 

Katanya, tidak sedikit gelombang menentang konspirasi Israel dan Amerika Syarikat dizahirkan oleh rakyat Malaysia melalui demonstrasi besar-besaran di ibu negara.

Rakyat Malaysia, tegasnya sehingga hari ini tidak pernah berkompromi dengan apa sahaja hubungan dengan Israel. 

Sebab itu, kata beliau perjuangan yang ditampilkan oleh Hamas sebagai sebuah gerakan yang mahu mengembalikan hak rakyat Palestin dan membebaskan Baitul Maqdis  mendapat sokongan penuh dari rakyat di Malaysia.

Beliau menegaskan, Israel mesti diingatkan, rakyat Malaysia tidak mungkin dapat memaafkan Israel yang berlaku zalim ke atas rakyat Palestin sehingga melebihi 66 tahun. 

Katanya, pembunuhan, pemusnahan dan perampasan hak warga Palestin  adalah ciri Israel sejak penubuhannya secara haram pada 1948.

Kini, ujar beliau dengan menuduh Malaysia melatih Hamas, jelas agenda Israel adalah untuk mendakwa betapa memerangi musuh Israel perlu dilebarkan ke seluruh dunia. 

Dengan yang demikian, tambahnya merasionalkan Amerika Syarikat menyalurkan dana berbilion dolar setiap tahun untuk melindungi dan menjamin keselamatan Israel. - HARAKAHDAILY 3/8/2014

No comments: