Friday, August 1, 2014

Isu MB: PKR Kapar nafi setuju keluar kenyataan

  • Laporan Sinar Harian Online semalamLaporan Sinar Harian Online semalam
 1 / 1 
SHAH ALAM - Ketua Cabang PKR Kapar, Azizi Ayob menafikan bersetuju mengeluarkan kenyataan yang menggunakan namanya bersama empat lagi ketua cabang PKR berhubung isu menteri besar.

Beliau menegaskan tidak pernah bersetuju dengan kenyataan tersebut.

"Satu kenyataan akhbar berkenaan isu Menteri Besar Selangor telah dikeluarkan semalam dengan meletakkan nama saya, selaku Ketua Cabang Kapar sebagai salah satu penama tanpa persetujuan saya.


"Saya dengan ini menafikan kenyataan akhbar tersebut dan menegaskan bahawa saya tidak pernah bersetuju dengan kenyataan tersebut," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Semalam, Sinar Harian melaporkan lima ketua cabang PKR menggesa pimpinan tertinggi parti untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap Abdul Khalid yang dilihat semakin jelas membelakangkan parti sejak kebelakangan ini.

Ketua Cabang Tanjung Karang, Mohd Yahya Mat Sahri berkata,  saranan Abdul Khalid agar Adun PR membuat undi tidak percaya terhadap beliau disifatkan sebagai satu tindakan yang bertujuan memalukan parti dan wajar diambil tindakan.

"Kita sedia maklum, tindakan-tindakan beliau sejak akhir-akhir ini jelas membelakangkan pendirian dan ketetapan Majlis Pimpinan Pusat dan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat. Oleh itu, kami gesa pihak pemimpin parti untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap beliau ," katanya dalam sebuah kenyataan.

Dalam pada itu, pihaknya turut meminta kesemua ahli parti untuk menyokong penamaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Menurutnya lagi, Azizah yang selaku Presiden PKR adalah calon yang paling layak  untuk menjadi menteri besar berbanding Adun lain.

No comments: